Sarawak Energy: Lebih separuh daripada kes kecurian dikaitkan dengan perlombongan mata wang kripto di Sarawak dilaporkan di Miri | DagangNews Skip to main content

Sarawak Energy: Lebih separuh daripada kes kecurian dikaitkan dengan perlombongan mata wang kripto di Sarawak dilaporkan di Miri

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUCHING 17 April ― Lebih separuh daripada kes kecurian elektrik yang dikaitkan dengan perlombongan mata wang kripto di Sarawak dilaporkan di Miri, kata Sarawak Energy Bhd (SEB).

 

Syarikat utiliti itu berkata daripada 260 kes yang dibongkar di negeri ini sejak 2018, kira-kira 60 peratus, atau 156 kes, ditemui di bahagian Miri.

 

“Kes-kes ini mengakibatkan kerugian bulanan sekitar RM4 juta bagi Sarawak Energy.

 

"Individu yang terlibat dalam kes ini sedang didakwa, mencerminkan komitmen kami untuk mengekang isu kecurian kuasa," kata perbadanan itu dalam kenyataan media hari ini.

 

SEB berkata ia baru-baru ini mendedahkan tiga operasi perlombongan mata wang kripto di Miri menggunakan tenaga elektrik yang dicuri untuk meningkatkan aktiviti mereka, yang mengakibatkan anggaran kerugian bulanan sebanyak RM30,000 bagi syarikat utiliti itu.

 

Cabang operasi SEB Syarikat Sesco Bhd (Sesco), dalam operasi bersama polis, mendapati kegiatan curi elektrik berlaku di rumah kedai dan unit kediaman di Pujut dan Jalan Miri-Bintulu.

 

“Semasa serbuan, pasukan pemeriksa meter Sesco menemui kabel penoreh terus digunakan untuk memintas meter dan mendapatkan bekalan elektrik secara haram dari sesalur masuk.

 

“Lebih daripada 70 pelayan perlombongan mata wang kripto dan peranti elektronik lain yang ditemui di tapak telah dirampas sebagai bukti dalam siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

 

SEB menambah, penemuan itu susulan pendedahan enam kes curi elektrik di Miri oleh Sesco dan pihak berkuasa sebelum ini.

 

 

wainuiomata

 

 

“Ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik.

 

“Mereka yang didapati bersalah berdepan denda maksimum RM200,000 dan/atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.”

 

SEB berkata walaupun Sarawak mempunyai salah satu tarif paling kompetitif di rantau ini, permintaan tenaga yang tinggi bagi perlombongan mata wang kripto sering mendorong pengendali mengambil jalan keluar dengan kecurian elektrik untuk mengurangkan kos mereka.

 

“Bagaimanapun, operasi sedemikian lazimnya melibatkan pendawaian yang tidak standard dan tidak selamat, menimbulkan risiko kebakaran, kerosakan pada peralatan elektrik, kehilangan nyawa, dan gangguan bekalan kuasa kepada hartanah jiran,” ujarsnya.

 

Syarikat utiliti itu kekal komited terhadap kerjasama berterusan dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, serta dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memerangi kecurian kuasa, terutamanya dalam kes yang melibatkan perlombongan mata wang kripto.

 

 

wainuiomata

 

 

Sarawak Energy juga memberi amaran terhadap penyedia perkhidmatan yang menjanjikan bil elektrik yang lebih murah, kerana pasukan teknikal Sesco terlatih dan dilengkapi untuk mengesan pelbagai bentuk kecurian elektrik.

 

“Tuan-tuan tanah harus berhati-hati apabila menyewakan hartanah mereka untuk melindungi diri mereka daripada potensi aktiviti menyalahi undang-undang oleh penyewa.

 

‘Akaun elektrik harus didaftarkan di bawah nama penyewa untuk mengurangkan risiko terlibat dalam kecurian elektrik,” nasihatnya.

 

Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kecurian kuasa digalakkan untuk menghubungi SEB melalui talian pusat penjagaan pelanggannya 1-300-88-3111, atau emel ke customercare@sarawakenergy.com- DagangNews.com