Saham Sik Cheong dibuka 85.15% lebih tinggi pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Sik Cheong dibuka 85.15% lebih tinggi pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Wong Hing Ngiap, Pengarah Urusan Sik Cheong Berhad dan Abdul Razak Dato Ipap, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Sik Cheong Berhad memukul gong pada penyenaraian Sik Cheong di Bursa Malaysia 13 Ogos 2024.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Saham dalam Sik Cheong Berhad melonjak 85.15% semasa penampilan sulung dagangan saham itu pada hari ini, selepas syarikat pembungkusan semula, pemasaran dan pengedaran minyak sawit olein RBD itu memperoleh RM17.8 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO).

 

Sik Cheong dibuka pada 50 sen berbanding harga IPO syarikat itu sebanyak 27 sen sesaham, iaitu peningkatan sebanyak 23 sen.

 

Pada pukul 9.22 pagi, saham itu mereda kepada nilai dagangan sebanyak 45 sen sesaham, mewakili peningkatan sebanyak 66.67%.

 

Syarikat itu akan menggunakan 40% daripada hasil IPO bagi membina kemudahan pembungkusan minyak yang baharu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tawaran Awam Permulaan Sik Cheong terlebih langganan 213.53 kali

 

MINYAK
Sik Cheong terlibat dalam pembungkusan semula, pemasaran, dan pengedaran produk minyak sawit.

 

Ini termasuk pembinaan semula kilang no.9 dan pembelian mesin serta peralatan baharu.

 

Pembinaan semula ini akan memudahkan produk baharu Sin Cheong – minyak kacang soya oleik tinggi, mewujudkan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan.

 

Sik Cheong juga merancang untuk mengembangkan perniagaan di luar Kuala Lumpur dan Selangor ke negeri-negeri jiran seperti Perak, Negeri Sembilan, Melaka, dan Pahang untuk menarik lebih banyak pelanggan.

 

Inisiatif ini akan disokong oleh pengembangan lorinya yang akan dibiayai oleh 5% atau RM900,000 daripada hasil IPO.

 

Sik Cheong, melalui anak syarikatnya, terlibat terutamanya dalam pembungkusan semula, pemasaran, dan pengedaran produk minyak sawit RBD.- DagangNews.com