RHB Investment berhati-hati prospek Aeon akibat persaingan sengit kedai di kawasan perumahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment berhati-hati prospek Aeon akibat persaingan sengit kedai di kawasan perumahan

Gambar Aeon Retail Malaysia
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Julai - RHB Investment Bank berhati-hati terhadap prospek Aeon Co (M) Bhd disebabkan persaingan sengit daripada kewujudan kedai di kawasan kejiranan dan kedai yang memenuhi kehendak tertentu pengguna.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, selain itu, lambakan ruang sewa untuk perniagaan runcit ketika ini yang meningkatkan lagi persaingan kepada Aeon.

 

"Baru-baru ini, kami menghadiri sesi mesyuarat dengan pihak pengurusan bagi membincangkan prospek dan strategi yang dirangka Aeon Co M. 

 

"Kami tetap berhati-hati akan prospek Aeon disebabkan persaingan semakin sengit daripada kewujudan kedai di kawasan kejiranan dan kedai yang memenuhi kehendak tertentu pengguna, selain adanya lambakan ruang sewa untuk perniagaan runcit. 

 

"Kami ramalkan pertumbuhan perolehan perlahan dan bertindak untuk tidak menaikkan penilaian kami," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 99 Speed Mart bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia

 

RHB Investment dalam pada itu, tidak menjangkakan Aeon akan melakar prestasi lebih tinggi berbanding purata industri runcit, lebih-lebih lagi dalam sektor barangan runcit yang sengit, tatkala persaingan yang rancak daripada pertumbuhan kedai di kawasan kejiranan dan kedai yang menjual barangan khusus. 

 

"Jika diimbaskan kembali, hasil runcit Aeon tumbuh 4.2% YoY pada 1Q24, iaitu lebih rendah daripada pertumbuhan keseluruhan jualan runcit 7.8% Malaysia untuk tempoh yang sama. 

 

"Selepas menerima rangsangan musim perayaan pada 1Q24 (musim Tahun Baharu Cina dan Aidil Fitri jarang sekali jatuh pada 1Q), kami menjangkakan jualan runcit akan menurun kelak (>20% QoQ)," jelasnya.

 

Sementara itu, kata RHB Investment, walaupun segmen pengurusan hartanah (PMS) masih menjadi pemacu utama perolehan, namun pertumbuhan lanjut terbatas akibat kadar penghunian yang hampir penuh dan kurangnya pengembangan pusat beli-belah. 

 

Katanya, pihak pengurusan menumpukan pada usaha mengubah suai pusat-pusat beli-belah bagi mempertingkatkan pengalaman membeli-belah dan daya saing. 

 

"Selepas pengubahsuaian, minat penyewa dilihat kian meningkat dan Aeon berhasrat untuk terus menarik jenama-jenama yang menjurus kepada pengguna muda. 

 

"Meskipun pihak pengurusan menjangkakan pertumbuhan sewaan pada kadar digit tunggal tinggi, kami meletakkan unjuran kadar turun naik harga sewa yang lebih konservatif iaitu 3% untuk FY24, susulan catatan kadar yang tinggi pada FY23 (+9%). 

 

"Unjuran ini selari dengan REIT lain yang kami kaji, kerana lambakan ruang penjualan runcit yang memperhebat persaingan dalam pasaran," ujarnya.

 

Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang pindaan pada ramalan perolehan, namun TP Aeon dinaikkan kepada RM1.35 daripada RM1.26 sesaham dengan kekalkan saranan 'Neutral'. - DagangNews.com