RAM Ratings beri penarafan AA1 kepada Sukuk SRI UEM Group bernilai RM7 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RAM Ratings beri penarafan AA1 kepada Sukuk SRI UEM Group bernilai RM7 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - RAM Ratings (RAM) memberikan penarafan AA1(s)/Stabil kepada Sukuk SRI UEM Olive Capital Berhad bernilai RM7 bilion.

 

RAM turut turut menaiktaraf program sukuk Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) yang diterbitkan oleh UEM Group Berhad bernilai RM2.2 bilion kepada AA1/Stabil daripada penarafan AA2/Stabil sebelum ini.

 

Agensi penarafan itu dalam laporan yang dikeluarkan berkata, peranan UEM Group selaku entiti berkaitan kerajaan kini dilihat sebagai amat penting kepada syarikat induknya, iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah). 

 

“UEM Group kini dilihat lebih berperanan dalam membantu usaha kerajaan untuk beralih kepada ekonomi hijau bernilai tinggi seperti digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Merujuk kepada pengumuman RAM, Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pihaknya menyambut baik penilaian itu yang merupakan cerminan positif kepada trajektori strategik syarikat, termasuk penglibatan mereka dalam industri hijau. 

 

"Ia merupakan manifestasi kepada penjajaran komprehensif di antara UEM Group dan syarikat induk kami, Khazanah dalam memacu inisiatif bertumpukan kepada masa hadapan bagi membangunkan keupayaan tenaga boleh diperbaharui tempatan di Malaysia dan mempercepatkan peralihan tenaga negara ke arah mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih menjelang 2050," katanya. - DagangNews.com