KUALA LUMPUR 11 Dis - Kenanga Research menjangkakan sektor sarung tangan getah berdepan terus berdepan cabaran pada tahun hadapan kesan daripada purata harga jualan (ASP) yang lemah, lebihan bekalan serta saingan sengit daripada pengeluar dari China.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat peningkatan sederhana dari segi penggunaan pada suku ketiga tahun ini antara 35% hingga 40%, keterliharan industri kekal lemah kerana pengedar atau pembeli tidak melihat keperluan medesak untuk meningkatkan simpanan.
Katanya, memandangkan penggunaan kapasiti yang rendah, skala ekonomi tidak dapat dicapai oleh industri.
"Walaupun pengeluar sarung tangan kembali mencatat keuntungan pada suku ketiga 2023, keuntungan itu sebahagian besarnya disokong penurunan tekanan kos dan penjimatan yang berpunca daripada penutupan kilang lama.
"Memasuki 2024, kami percaya penggunaan yang rendah dan permintaan yang lemah dan lebihan bekalan akan berterusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kenanga Research menjangkakan harga input lateks akan meningkat pad atahun hadapan kerana pengeluaran yang rendah khususnya antara Disember hingga Mei manakala harga getah nitril butadiena telah meningkat sejak suku keempat tahun ini.
Bagaimanapun, harga gas asli yang menyumbang 15% hingga 20% daripada jumlah kos pengeluaran menyusut sebanyak 17% pada suku ketiga.
"Pengeluar sarung tangan sedar bahawa prospek untuk meningkatkan lagi ASP pada suku berikutnya adalah mencabar disebabkan oleh keadaan lebihan kapasiti besar semasa, dengan hanya segelintir pelanggan bersetuju setakat ini.
"Disebabkan oleh tekanan persaingan semasa yang berpunca daripada lebihan bekalan yang besar dan penggunaan industri yang rendah dengan purata 40%, pelanggan boleh pergi dan memilih untuk membeli daripada pengeluar lain apabila terdapat percubaan untuk menaikkan harga.
Firma penyelidikan itu menyemak turun penarafan sektor itu kepada 'underweight' daripada 'neutral'.- DagangNews.com








