KUALA LUMPUR 13 Jun - Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) dan Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) sedang menjalankan siasatan dan pemantauan ketat ekoran serangan kecurian data serta penyalahgunaan 'zero-day vulnerability' pada perisian 'MOVEit'.
Prudential dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengesahkan bahawa mereka adalah antara syarikat-syarikat di seluruh dunia yang telah terkesan secara global melalui serangan siber tersebut.
"Pelanggan dan ejen adalah keutamaan kami dan sebaik sahaja kami menyedari tentang insiden ini, kami telah mengambil tindakan segera untuk mengasingkan 'server' yang terjejas sementara pasukan tindak balas insiden kami meneruskan siasatan dan pemantauan yang ketat berkaitan dengan perkara ini.
"Kami juga telah memaklumkan perkara ini kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Terdapat kemungkinan besar bahawa antara data peribadi para ejen dan pelanggan yang terjejas adalah melibatkan nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan dan/atau sebahagian maklumat kad kredit yang mengurangkan risiko transaksi tanpa kebenaran.
"Siasatan masih giat dijalankan. Sebagai makluman, kami sedang berusaha untuk mengesahkan perkara ini secepat mungkin," katanya.
Menurut Prudential, pihaknya sedang mengambil langkah segera untuk memaklumkan perkara ini kepada para pelanggan yang terjejas serta pada masa sama memberikan sokongan yang sewajarnya.
Katanya, syarikat juga telah menyediakan talian hotline khusus dengan masa operasi yang dilanjutkan supaya mudah dihubungi pelanggan.
"Untuk melindungi diri, kami mencadangkan para ejen dan pelanggan kami agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang komunikasi yang tidak dijangka. Elakkan daripada mengklik pada pautan atau memuat turun lampiran daripada e-mel yang mencurigakan.
"Semak akaun bank dan penyata kad kredit anda secara berterusan untuk mengesan aktiviti yang mencurigakan. Jika anda mengesyaki bahawa kad kredit anda terjejas dalam apa jua cara, kami mengesyorkan anda terus menghubungi pihak bank untuk melakukan tindakan selanjutnya," katanya.
Tambah kenyataan itu, serangan keselamatan siber kini semakin meningkat di peringkat global dan pihaknya sentiasa menyemak, mengemaskini sistem keselamatan serta telah bertindak pantas untuk mengawal serangan dalam perisian MOVEit.
"Perniagaan kami kekal beroperasi sepenuhnya dan tiada sebarang kesan ke atas operasi pelanggan," katanya.
Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi talian pelanggan 03-27712480 (PAMB) atau 03-27424060 (PruBSN), atau layari laman web www.prudential.com.my atau www.prubsn.com.my. - DagangNews.com








