PRU15: Mastura dakwa Ahmad Zahid langgar janji, hancur hati Wanita UMNO, BN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PRU15: Mastura dakwa Ahmad Zahid langgar janji, hancur hati Wanita UMNO, BN

Datuk Mastura Mohd Yazid - Gambar Facebook Mastura Yazid

KUALA LUMPUR 20 Nov - Bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti melanggar janji mengenai kuota calon daripada Wanita UMNO untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan Pengerusi Sekretariat Profesional Wanita UMNO itu berkata, hati sayap berkenaan dan Barisan Nasional (BN) yang setia dan kuat bekerja, hancur dengan pelanggaran janji itu, lapor Berita Harian.

 

"Presiden dan MKT berjanji 30% calon wanita untuk PRU15, tetapi janji dilanggari. Hancur hati Wanita UMNO/ BN yang setia dan kuat bekerja. #maruahWanitaUMNO? #JAWAB!!," tulisnya melalui hantaran di Facebook, hari ini.

 

Sebelum hari penamaan calon pada 5 November lalu, Mastura turut mengemukakan isu yang sama di Facebook beliau selepas namanya tidak dicalonkan bertanding mana-mana kerusi pada PRU15.

 

Menerusi hantaran terdahulu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu menulis: "Janji 30% calon Wanita?? (Namun) Tak seorang pun Wanita UMNO dicalonkan untuk kerusi Parlimen di negeri Perak dan Negeri Sembilan."

 

Bagaimanapun semakan mendapati hantaran sebelum ini sudah dipadamkan dari Facebook yang dikendalikan oleh Mastura.

 

Beliau juga sebelum ini dilihat berkongsi kenyataan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang menyambut baik keputusan MKT UMNO bersetuju meletakkan sekurang-kurangnya 30% calon wanita pada PRU-15.

 

Mastura, 61, antara beberapa nama dalam Kabinet sebelum ini yang digugurkan sebagai calon PRU15 dengan tempatnya di Kuala Kangsar digantikan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Maslin Sham Razman, yang tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) pada PRU15, semalam. - DagangNews.com