Yinson GreenTech, PNB Merdeka Ventures perkenal hab pengecas EV terbesar di Menara Merdeka 118 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson GreenTech, PNB Merdeka Ventures perkenal hab pengecas EV terbesar di Menara Merdeka 118

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai –Yinson GreenTech melalui perniagaan pengecas kenderaan elektriknya, chargEV, melancarkan hab pengecas AC terbesar di Malaysia bertempat di Menara Merdeka 118.

 

Pelancaran tersebut dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PNBMV) iaitu anak syarikat di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang bertanggungjawab membangunkan dan mengurus Menara Merdeka 118.

 

PNBMV berkata Menara Merdeka 118 bukan sahaja berfungsi sebagai mercu tanda ikonik negara, tetapi turut dibangunkan sebagai destinasi masa depan yang lengkap dengan infrastruktur moden dan mampan bagi menyokong keperluan bandar pintar.

 

Hab pengecas baharu itu menyediakan sebanyak 32 ruang pengecas kenderaan elektrik (EV) menjadikannya antara kemudahan pengecas EV berkapasiti tinggi di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur.

 

t

 

t

 

Setiap ruang dilengkapi pengecas AC berkapasiti 22 kilowatt (kW) yang sesuai untuk kegunaan harian seperti pengecasan semasa bekerja, membeli-belah atau berada di kawasan sekitar bangunan tersebut.

 

Dengan kapasiti ini, hab berkenaan secara rasmi menjadi antara hab pengecas AC tunggal terbesar di Malaysia, sekali gus memperkukuh infrastruktur EV di kawasan bandar utama.

 

Menurut Yinson GreenTech, inisiatif ini turut memberi nilai tambah gaya hidup kepada pengguna EV dengan menyediakan kemudahan pengecasan yang mudah diakses di lokasi premium.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson GreenTech, Louisa Brady berkata, kerjasama dengan PNBMV membolehkan pihaknya menyediakan infrastruktur pengecasan berskala besar di lokasi strategik yang menjadi tumpuan orang ramai.

 

“chargEV juga memanfaatkan rangkaian operasi sedia ada serta aplikasi chargEV bagi memudahkan pengguna mencari dan menggunakan kemudahan pengecasan dengan lebih efisien,” katanya.

 

t

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad, Datuk Ir Ts Izwan Ibrahim berkata Menara Merdeka 118 dibangunkan sebagai “location and infrastructure anchor” yang menyokong keperluan mobiliti moden dan perkembangan teknologi hijau.

 

Beliau berkata, integrasi kemudahan pengecas EV di dalam pembangunan tersebut adalah sebahagian daripada usaha memastikan Menara Merdeka 118 kekal relevan dan bersedia untuk masa depan.

 

PNBMV turut menegaskan inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penyewa dan pengunjung, tetapi juga menyokong agenda kelestarian negara melalui pengurangan pelepasan karbon.

 

Dalam perkembangan seterusnya, chargEV merancang untuk memperkenalkan pengecas pantas DC (direct current) di pusat beli-belah 118 yang bakal dibuka pada Ogos 2026, bersebelahan Menara Merdeka 118.

 

Pengenalan pengecas pantas DC itu dijangka meningkatkan lagi kecekapan pengecasan bagi pengguna yang memerlukan masa lebih singkat, sekali gus melengkapkan ekosistem pengecasan EV di lokasi berkenaan. - DagangNews.com