KUALA LUMPUR 3 Julai – Hextar Industries Berhad meraih kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) yang bernilai RM138 juta, bagi sebuah pembangunan industri secara bersepadu.
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, projek tersebut meliputi kawasan seluas 80,929 meter persegi dan diperoleh menerusi anak syarikat milik 70%-nya, Hextar Mitai Sdn Bhd.
Subsidiari itu akan melaksanakan kerja-kerja EPC bagi pembangunan dengan keluasan lantai kasar melebihi 101,800 meter persegi dan merangkumi pembinaan tiga kilang pengeluaran serta gudang.
"Projek tersebut turut melibatkan pembinaan dua bangunan asrama pekerja selain pelbagai kemudahan sokongan lain bagi memenuhi keperluan pembangunan industri berkenaan," jelas Hextar Industries.
Ujar kumpulan tersebut, skop kerja akan merangkumi pembinaan struktur, kemasan seni bina, kerja landskap, pembangunan infrastruktur serta pemasangan bagi sistem mekanikal dan elektrikal (M&E).

Projek terbaharu diperoleh berkenaan tambahnya, dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 12 bulan, namun tertakluk kepada pengeluaran sijil penyiapan daripada pihak berkuasa mengikut terma kontrak.
Pengarah Urusan Hextar Industries, Benny Ang berkata, kontrak itu merupakan satu lagi pencapaian penting bagi bahagian kejuruteraan awam syarikat dan mengukuhkan lagi keupayaan teknikal kumpulan.
"Tender ini bukan sahaja memperkukuh buku tempahan syarikat, malah meningkatkan keterlihatan hasil dan memperkukuhkan rekod prestasi pelaksanaan projek infrastruktur perindustrian," ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Alex Sham berkata, projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan berkenaan sebaik sahaja kerja-kerja pembinaan dimulakan.
Katanya, peningkatan permintaan pembangunan infrastruktur perindustrian di Lembah Klang turut memperkukuh portfolio EPC serta meletakkan Hextar Industries pada kedudukan baik. - DagangNews.com








