KUALA LUMPUR 21 Julai - RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Globetronics Technology Bhd. dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.25 daripada RM1.46 sebelum ini.
Firma itu percaya penilaian yang diberikan adalah wajar di sebalik kelemahan harga sahamnya dan jangkaan hasil yang lebih kukuh direkodkan pada separuh kedua.
Ini memandangkan prospek pertumbuhan kumpulan yang kurang memberangsangkan ketika ia menilai semula jangkaan bagi produk penderia isyarat dan mengambil kira kelewatan dalam program baharu.
"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 5.7%, 7.5% dan 6%.
"Kami juga melancarkan tahun penilaian kepada FY23, menghasilkan TP baharu pada RM1.25 berdasarkan sasaran P/E yang lebih rendah sebanyak 17 kali (berbanding 20 kali sebelum ini) pada -0.5SD daripada purata 5 tahun, memandangkan prospek pertumbuhannya tidak memberangsangkan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Untung bersih Globetronics Technology pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 susut 24.65% kepada RM9.45 juta daripada RM12.54 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan jumlah muatan yang lebih rendah.
Malah, pendapatan bagi tempoh berkenaan juga merosot 24.04% kepada RM42.63 juta daripada RM55.4 juta bagi tempoh sama 2021.
Kumpulan itu mengaitkan jualan dan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada jumlah muatan yang lebih rendah daripada beberapa pelanggan kumpulan dan kejatuhan dalam skala ekonomi.
Bagaimanapun, RHB Research berkata, jumlah muatan untuk kedua-dua penderia isyarat dan lampu berkemungkinan tinggi sedikit kepada 25 hingga 26 juta pada suku kedua berbanding 21 hingga 23 juta pada suku pertama manakala peningkatan volum bermula dari Jun dan seterusnya untuk pelancaran versi seterusnya telefon pintar pada September/Oktober ini.
"Sementara itu, kami juga melihat penambahbaikan pada produk lampu depan laser di tengah-tengah kekurangan gangguan dan tambahan produk dalam perancangan," katanya.
Pada masa sama, katanya, tambahan keluasan 30,000 kaki persegi ruang lantai telah disiapkan dan pemasangan peralatan akan dijalankan pada September/Oktober, yang dijangka menyumbang kepada prestasi kewangan FY23.
Setakat 10.58 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.86% kepada RM1.17 dengan 27,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








