KUALA LUMPUR 21 Ogos - Prospek pertumbuhan Elridge Enery Bhd dijangka dipacu hasil pasaran antarabangsa selain disokong oleh inisiatif kerajaan untuk mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), Laporan Penyelidikan Pasaran Bebas (IMR) menunjukkan industri hampas isirong sawit di Asia Pasifik dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan hasil tahunan (CAGR) sebanyak 8.9% antara 2024 dan 2026.
"Untuk menangkap pertumbuhan ini, Elridge Energy berhasrat untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran mereka sebanyak 75% dengan pembukaan tiga kilang baharu di Pasir Gudang, Johor; Kuantan, Pahang; dan Lahad Datu, Sabah menjelang Julai 2025.
"Perlu diambil maklum pada akhir April 2024, kadar penggunaan barisan pengeluaran hampas isirong sawit di Kilang Port Klang mencapai 83.4%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB berkata, Singapura adalah pasaran terbesar Elridge Energy dalam empat bulan pertama tahun kewangan 2024 (4MFY24), menyumbang 47.6% kepada hasilnya.
Kata firma penyelidikan tersebut, ini diikuti oleh Indonesia (31.5%), Jepun (14%) dan Malaysia (6.8%).
ARTIKEL BERKAITAN: Elridge Energy sasar kumpul RM101.5 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia
"Elridge Energy terutamanya terlibat dalam pengeluaran dan perdagangan produk bahan bakar biojisim, iaitu cengkerang isirong sawit dan palet kayu.
"Pelanggan kumpulan ini terdiri terutamanya daripada syarikat perdagangan produk bahan bakar biojisim, yang seterusnya menjual produk tersebut kepada pelanggan akhir (industri penjanaan kuasa dan pembuatan)," ujarnya.
Tambah Maybank IB, Elridge Energy akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 22 Ogos 2024.
"Elridge Energy diniagakan pada nisbah PER FY23 sejarah sebanyak 24.6x, pada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 29 sen. Apabila dianalisis secara tahunan, Elridge Energy akan diniagakan pada 12.9x EPS (pendapatan sesaham) tahunan 4MFY24 sebanyak 2.2 sen.
"Sebagai perbandingan, Indeks Pengeluaran Industri Bursa Malaysia diniagakan pada nisbah PER 2024E sebanyak 16.3x, berdasarkan Bloomberg," ujarnya.- DagangNews.com








