KUALA LUMPUR 5 Julai - Program Perantisan Moden Lanjutan Mercedes-Benz Malaysia kini dibuka untuk permohonan sehingga 31 Julai 2023, menawarkan platform bagi golongan muda Malaysia yang bercita-cita untuk memulakan kerjaya mereka sebagai Juruteknik Kereta Penumpang dengan syarikat automobil tersebut.
Menurut satu kenyataan media hari ini, Mercedes-Benz Malaysia berkata kursus perantisan itu akan dijalankan selama tiga tahun dan dibiayai sepenuhnya melalui biasiswa.
“Kursus itu merangkumi kurikulum komprehensif yang diselaraskan dengan sukatan pelajaran dan garis panduan latihan diluluskan secara global yang ditubuhkan oleh Mercedes-Benz Global Training, menggabungkan elemen Kecekapan Mercedes-Benz untuk memastikan pembangunan berterusan pelatih dengan jenama itu,” katanya.
Syarikat itu menambah bahawa program ini termasuk Kelayakan Antarabangsa sehingga Tahap 3, yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Di samping itu, Mercedes-Benz turut memperkenalkan profil baharu untuk pakar kenderaan elektrik, iaitu Juruteknik Voltan Tinggi Berkelayakan (QHV) sebagai modul tambahan untuk melatih dan menyediakan bakat bagi memenuhi permintaan landskap mobiliti masa hadapan.
Selepas tamat program Perantisan Moden Lanjutan, peserta akan mendapat sijil SKM Tahap 3, C&G VRQ Tahap 3, Juruteknik Penyelenggaraan Berkelayakan (QMT), Juruteknik Sistem Berkelayakan (QST) / Juruteknik Kerja Badan Berkelayakan (QBT) / Juruteknik Voltan Tinggi Berkelayakan ( QHV), bergantung pada pengkhususan yang dipilih.
Selain itu, peserta juga akan dilengkapi dengan set kemahiran yang pelbagai, termasuk kemahiran pembentangan, analisis kritikal, membuat keputusan, dan pemikiran sistematik sebagai juruteknik automotif yang pakar dalam sistem dan teknologi voltan tinggi.
“Pekerjaan dijamin selepas program selesai, dengan gaji minimum pada tahun pertama dan peluang pertumbuhan tambahan selepas itu. Keseluruhan kursus ini akan dijalankan di Akademi Latihan Mercedes-Benz Malaysia terkini yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong,” tambahnya.
Naib Presiden Perkhidmatan Pelanggan Mercedes-Benz Cars bagi Malaysia dan Asia Tenggara II, Edmin Naidoo berkata, “Dengan menggunakan platform pendidikan eksklusif kami yang merangkumi kemudahan latihan terkini bertaraf dunia dan garis panduan ketat, kami boleh memupuk profesional Mercedes-Benz bertauliah yang akan menyumbang kepada rangkaian kami dan memastikan penyampaian pengalaman luar biasa kepada pelanggan,” ujar beliau.

Sejak 1984, Akademi Latihan Mercedes-Benz Malaysia telah melahirkan lebih 900 perantis yang kini berkhidmat dalam pelbagai jawatan merentasi pengkhususan berbeza dalam rangkaian pengedar sah jenama itu dan program ini telah menerima purata 500 pemohon setiap tahun sejak 2017.
Individu yang berminat dengan sekurang-kurangnya 3 kredit dalam SPM atau kelayakan yang setaraf, termasuk lulus dalam Bahasa Inggeris, boleh dapatkan maklumat lanjut di Advanced Modern Apprenticeship Program atau e-mel ke [email protected] . - DagangNews.com








