Princeton Digital peroleh pembiayaan RM1.28 bilion bagi pusat data AI di Johor | DagangNews Skip to main content

Princeton Digital peroleh pembiayaan RM1.28 bilion bagi pusat data AI di Johor

Fasa pertama kampus pusat data JH-1 PDG dijadual siap Jun ini. -Gambar PDG
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Mei - Princeton Digital Group (PDG) telah memperoleh pembiayaan berjumlah RM1.28 bilion (AS$280 juta) bagi pembangunan fasa pertama pusat data hiperskala 150MW yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) di Taman Teknologi Sedenak (STeP), Johor.

 

Menurut PDG, pinjaman itu disediakan oleh tiga bank iaitu Maybank, Standard Chartered Bank dan UOB Malaysia yang bertindak sebagai Penyelaras Pinjaman Hijau Bersama.

 

JH1 ialah salah satu kampus pusat data sedia AI terbesar di Asia dan direka bentuk untuk memenuhi permintaan infrastruktur beberapa syarikat AI dan awan yang paling terkemuka di dunia.

 

Projek hiperskala 150MW melibatkan pelaburan AS$1.5 bilion oleh PDG.

 

Pembiayaan AS$280 juta itu adalah untuk fasa pertama 52MW JH1 yang berada di landasan tepat untuk memulakan perkhidmatan pada Jun 2024. Ia siap dalam tempoh hanya 12 bulan dari permulaan pembinaan.

 

Pengerusi dan CEO PDG, Rangu Salgame berkata, kampus pusat data tersedia AI ini menggabungkan kualiti dan daya tahan infrastruktur dengan fokus utama pada kemampanan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Princeton Digital Group labur RM2 bilion bagi pembangunan fasa pertama pusat data 150MW di Taman Teknologi Sedenak

 

"JH1 dan pembiayaan oleh bank-bank terkemuka ini adalah bukti bagaimana penyelesaian PDG untuk kemampanan sambil menyediakan kemudahan AI menerusi drjumlah pelaburan yang besar. 

 

"Dengan rekod prestasi kami yang tidak dapat ditandingi, ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pengendali pusat data Asia Pasifik terkemuka," tambahnya dalam kenyataan itu.

 

PDG ialah pembangun dan pengendali infrastruktur Internet, yang beribu pejabat di Singapura dengan kehadiran dan operasi di Singapura, China, India, Indonesia, Malaysia dan Jepun. - DagangNews.com