KUALA LUMPUR 11 Nov - MIDF Research menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kepada 8% daripada anggaran 6.6% sebelum ini berikutan prestasi suku ketiga yang lebih kukuh.
Menurut firma itu, pertumbuhan pada suku itu yang mencatat pertumbuhan 14.2%, adalah mengatasi jangkaannya dan juga konsensus yang mengunjurkan pertumbuhan pada 12.5%.
Katanya, pertumbuhan pesat itu menunjukkan momentum pertumbuhan meningkat lagi apabila sekatan terhadap COVID-19 secara amnya telah ditarik balik, sempadan antarabangsa dibuka semula, perbelanjaan domestik yang semakin meningkat dan pengembangan berterusan dalam sektor luar.
"Walaupun dengan pertumbuhan sifar peratus bagi suku ke suku pada suku seterusnya, pertumbuhan KDNK 2022 akan menjadi sekurang-kurangnya 7.7%.
"Peningkatan berterusan dalam pendapatan dan keadaan pasaran buruh yang positif akan terus menyokong aktiviti penggunaan pada suku akhir 2022 dan menjelang 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga
Data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, pasaran pekerjaan yang kukuh dan permintaan luaran yang mantap.
Pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan 8.9% dan lebih kukuh berbanding 5% yang dicatatkan pada suku pertama 2022.
Kali terakhir ekonomi negara ini mencatatkan pertumbuhan dua angka adalah pada suku kedua tahun lalu sebanyak 16.1%.
Secara keseluruhan, pertumbuhan kukuh pada suku ketiga itu menjadikan pertumbuhan bagi sembilan bulan 2022 sebanyak 9.3%.
Bagaimanapun, MIDF Research mengekalkan pandangan optimis tetapi berhati-hati bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh aktiviti yang semakin meningkat dalam ekonomi domestik, tetapi prospek mungkin dipengaruhi oleh ketidaktentuan luaran.
Ini kerana menurutnya, tempahan baharu dan pesanan eksport menyumbang kepada kemerosotan dalam indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan, menunjukkan tanda-tanda permintaan yang perlahan.
"Selain itu, permintaan luar mungkin perlahan sekiranya berlaku kelembapan global kerana permintaan akhir dijangka dikekang oleh kenaikan mendadak dalam kos pinjaman berikutan pengetatan dasar oleh bank pusat utama," jelasnya.
Di peringkat domestik, firma itu berkata, keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan menentukan betapa besarnya risiko politik kepada ekonomi Malaysia.
"Sekiranya parlimen tergantung berlarutan, ini mungkin menimbulkan risiko ekonomi terutamanya kepada perbelanjaan kerajaan, Bajet 2023 dan pelaksanaan dasar awam," katanya. - DagangNews.com








