Eonmetall berhasrat jual 2 lot tanah industri pegangan bebas RM273 juta di Kapar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eonmetall berhasrat jual 2 lot tanah industri pegangan bebas RM273 juta di Kapar

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 JulaiEonmetall Group Berhad berhasrat menjual sebanyak dua lot tanah pegangan bebas miliknya di Kapar, Daerah Klang, Selangor pada nilai pertimbangan tunai RM273.28 juta.

 

Sehubungan itu, kumpulan tersebut akan mendapatkan kelulusan majoriti pemegang saham bagi cadangan pelupusan aset berkenaan, dalam langkah yang dijangka membolehkan hartanah strategik dijana.

 

Usul penjualan berkenaan akan dibentangkan semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 20 Julai 2026, di Wisma Leader Steel, Kawasan Perusahaan Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

 

"Urus niaga ini melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Eonmetall Land Sdn Bhd, yang akan menjual dua bidang tanah itu kepada WG Malaysia VIII Sdn Bhd," jelas Eonmetall kepada Bursa Malaysia.

 

Tambah kumpulan itu, tanah untuk kegunaan industri tersebut dipegang di bawah Geran 455284, Lot 119910 dan Geran 455285, Lot 119911, yang sebelum ini dikenali sebagai H.S.(D) 166442, PT 85117.

 

Keluasan keseluruhan kedua-dua lot itu kira-kira 26.723 hektar dan akan dilupuskan pada harga tunai sebanyak RM273,275,005 berdasarkan terma dipersetujui dalam perjanjian jual beli (SPA) bersyarat.

 

Eonmetall_DagangNews2026

 

Eonmetall berkata, Eonmetall Land dan WG Malaysia VIII sudah memeterai SPA itu pada 19 Mac 2026, namun tertakluk kelulusan, pengecualian atau persetujuan oleh pihak berkuasa dan pihak berkaitan.

 

"Syarikat turut memohon mandat pemegang saham untuk Lembaga Pengarah melaksanakan segala tindakan, dokumentasi dan urusan perlu bagi menyempurnakan usul pelupusan itu," tambahnya.

 

Lembaga juga akan diberi kuasa menerima sebarang syarat, pindaan, pengubahsuaian atau perubahan yang mungkin dikenakan oleh pihak berwajib bagi memastikan transaksi dilaksanakan dengan lancar.

 

Justeru ujar Eonmetall, tarikh kelayakan akhir bagi menentukan pemegang saham yang berhak menghadiri dan seterusnya dapat mengundi usul pada EGM berkenaan ditetapkan pada 13 Julai 2026.

 

Kelulusan terhadap resolusi ini penting bagi membolehkan anak syarikatnya meneruskan pelupusan tanah mengikut terma dan syarat dipersetujui, serta merealisasikan transaksi. - DagangNews.com