BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga

KUALA LUMPUR 11 Nov - Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku ketiga sebanyak 14.2% berbanding 8.9% pada suku sebelumnya. 

 

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), walaupun terdapat kesan asas daripada pertumbuhan negatif pada suku ketiga 2021, pertumbuhan juga didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

 

Katanya, ia disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan pendapatan yang bertambah baik serta sokongan dasar berterusan. 

 

"Eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E). Pemulihan pelancongan ke dalam negeri memberikan sokongan tambahan kepada kegiatan ekonomi. 

 

"Mengikut sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang 1.9% berbanding 3.5% pada suku kedua. 

 

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 9.3% pada tiga suku pertama 2022 setelah mencatat pertumbuhan 5% pada suku pertama.

 

 

BNM

 

 

Inflasi 

 

BNM berkata, inflasi keseluruhan pada tahun ini mungkin telah mencapai tahap tertingginya iaitu 4.5% pada suku ketiga manakala inflasi asas terus meningkat kepada 3.7%. 

 

Seperti yang dijangka, peningkatan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh kesan asas daripada diskaun bil elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga 2021, serta peningkatan berterusan dalam inflasi teras dan barangan yang harganya tidak menentu. 

 

"Tekanan inflasi mencerminkan gabungan tekanan kos yang meningkat khususnya untuk barangan berkaitan makanan serta keadaan permintaan yang kukuh," jelasnya. 

 

Ringgit

 

Pada suku ketiga, nilai ringgit susut 4.9% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) (sejak awal tahun hingga 9 November 2022: -11.2%), sejajar dengan mata wang serantau yang menurun nilai pada purata 5.5% (sejak awal tahun sehingga kini: -9.5%). 

 

Bank pusat menjelaskan, hal itu mencerminkan dolar AS yang terus kukuh berikutan dasar monetari yang terus diperketat oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur disebabkan prospek pertumbuhan global yang sederhana. 

 

Namun begitu, pertumbuhan dalam negeri yang kukuh mengurangkan lagi tekanan luaran terhadap penurunan nilai ringgit. 

 

"Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik mungkin mengalami risiko volatiliti yang lebih tinggi, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung.

 

"Ini disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan permodalan sistem perbankan yang teguh. 

 

"BNM akan terus memantau perkembangan pasaran dengan rapi serta memastikan bahawa pelarasan kekal teratur untuk menyokong pengantaraan yang berkesan bagi ekonomi," katanya. 

 

 

BNM

 

 

Pembiayaan

 


Pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat sebanyak 5.4% berbanding 4.9% pada suku sebelumnya, disokong terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi sebanyak 6.1% (suku kedua: 5.4%) didorong oleh segmen isi rumah.

 

Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul terus mampan pada 3.5%. Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul berada pada 5.0% kerana pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman. 

 

Menurut BNM, permohonan pinjaman terus menggalakkan merentas segmen dan kebanyakan tujuan pinjaman. 

 

"Bagi isi rumah, pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 6.2%, kebanyakannya disebabkan oleh pertumbuhan pengeluaran pinjaman yang tinggi bagi pembelian rumah dan kereta," jelasnya. - DagangNews.com