Prestasi kewangan CapitaLand pada suku ketiga dijangka lemah - CGS CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi kewangan CapitaLand pada suku ketiga dijangka lemah - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - CapitaLand Malaysia Mall Trust (CMMT) mungkin menyaksikan prestasi kewangan yang lemah menjelang keputusan suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur pada bulan ini. 

 

Berikutan prospek yang ‘suram’ itu, penganalisis di CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely berkata, firma itu mengambil pendekatan yang berhati-hati ke atas ramalan pemulihan CMMT.

 

“Susulan daripada persidangan keputusan kewangan 2QFY21, kami masih berhati-hati terhadap prospek pemulihan CMMT, mengambil kira hasil dan perolehan yang lebih lemah pada 3QFY21 bagi perbandingan suku ke suku (q-o-q) ekoran penguatkuasaan PKPD hampir sepanjang Julai (Selangor dan Wilayah Persekutuan) dan pembukaan semula pusat beli-belah runcit berpotensi hanya berlaku pada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), mungkin pada hujung tahun ini. 

 

“Permohonan dari industri runcit untuk pembukaan awal pusat beli-belah runcit masih lagi berjalan, ini bermakna tempoh yang lemah untuk pendapatan sewa CMMT pada separuh kedua 2021 (2H21), sementara bantuan sewa mungkin dipertingkatkan lagi pada 3QFY21 dengan jualan sewa atau kehadiran pengunjung kekal lemah. 

 

“Statistik operasi pada 1H21 masih menunjukkan terdapat cabaran pada jangka masa sederhana, namun mungkin disokong oleh prestasi lebih baik bagi pusat beli-belah runcitnya di Pulau Pinang dan Pahang memandangkan kedua-dua negeri itu beralih ke Fasa 2 PPN,” jelas Sharizan dalam satu nota kajian. 

 

Keuntungan bersih CMMT pada 1H21 iaitu RM19.2 juta di bawah ramalan kebanyakan penganalisis, mungkin disebabkan oleh penguatkuasaan PKP penuh di seluruh Malaysia.

 

Sementara hasil CMMT pada 2QFY21 pula 7% lebih rendah kepada RM52.7 juta berbanding suku tahun sebelumnya. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ saham CMMT, disokong oleh rancangan kumpulan untuk mengambil alih aset baharu dan mempelbagaikan perniagaannya, luar daripada industri runcit. 

 

Firma itu bagaimanapun menurunkan harga sasaran (TP) CMMT kepada RM0.62 sesaham, salah satunya disebabkan oleh unjuran agihan pendapatan seunit (DPU) yang lebih rendah. 

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas saham CMMT dengan TP diturunkan kepada RM0.58 daripada RM0.60.

 

Penganalisis di MIDF, Jessica Low Jze Teing berkata, penarafan itu dikekalkan susulan prospek perolehan CMMT dijangka ‘suram’ ekoran penyusutan runcit yang mencabar dan ramalan kadar sewa yang negatif.

 

“Kami menyemak semula unjuran perolehan bagi FY21 dan FY22, masing-masing diturunkan sebanyak 21.8% dan 5.5% memandangkan kami menjangkakan perolehan kumpulan pada 3QFY21 kekal lemah ekoran ‘lockdown’ penuh. 

 

“Selain itu, kami juga menjangkakan perolehannya akan diheret oleh kadar sewa yang negatif,” katanya lagi. - DagangNews.com