PLUS aktfikan penutupan lorong secara berperingkat di NKVE mulai 30 Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

PLUS aktfikan penutupan lorong secara berperingkat di NKVE mulai 30 Mac 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) melaksanakan kerja-kerja menaik taraf Jambatan KTMB yang merentangi Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di KM11.25 di antara Persimpangan Shah Alam dan Subang mulai 30 Mac 2023.

 

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerja naik taraf yang akan dilaksanakan secara berperingkat selama 7 bulan itu dijangka siap sepenuhnya pada awal November 2023.

 

Katanya, kerja-kerja menaik taraf tersebut akan dijalankan pada waktu malam bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi sepanjang tempoh tersebut. 

 

"Ia melibatkan penutupan lorong pada waktu malam secara berperingkat di antara KM10.5 hingga KM11.3 laluan Shah Alam-Subang dan KM11.7 hingga KM11.1 laluan Subang-Shah Alam. 

 

"Semua lorong akan dibuka semula kepada pengguna lebuh raya mulai pukul 5 pagi bagi memastikan tiada gangguan terhadap aliran trafik terutamanya pada waktu-waktu puncak," katanya.

 

Justeru itu katanya, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini sepanjang tempoh tersebut. 

 

"Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit," menurut kenyataan itu.

 

 

plus

 

 

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan. - DagangNews.com