Pintare ambil serius isu penganugerahan kontrak jutaan ringgit kepada syarikat bukan Bumiputera | DagangNews Skip to main content

Pintare ambil serius isu penganugerahan kontrak jutaan ringgit kepada syarikat bukan Bumiputera

Banyak stesen minyak diusahakan oleh usahawan Bumiputera. - Gambar DagangNews
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mac - Persatuan Industri Tenaga Boleh Baharu dan Alam Sekitar (Pintare) mengambil serius berhubung isu penganugerahan kontrak bernilai jutaan ringgit kepada syarikat bukan Bumiputera oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) baru-baru ini.

 

Setiausaha Agung Pintare, Ahmad Fathi Dr Zainazlan berkata, ia juga sekali gus memberi tanda tanya tentang hala tuju sebenar syarikat-syarikat Bumiputera tanpa sokongan dari pihak berkenaan. 

 

Katanya, pihak persatuan juga menggesa pihak terlibat untuk memberi ruang penyelesaian dalam menangani isu kesenjangan yang berlaku dalam kalangan pemain industri tempatan. 

 

BACA JUGA: Kontrak pasang solar di stesen Petronas bakal buka lebih banyak peluang kepada Solarvest - HLIB

 

"Pintare kini memiliki lebih 100 buah syarikat Bumiputera dalam industri tenaga boleh baharu dan alam sekitar.

 

"Syarikat-syarikat ini mengharapkan peluang yang lebih inklusif dan eksklusif diberikan kepada pemain industri yang kebanyakannya hanya menjadi syarikat pelaksana subkontraktor. 

 

"Mereka perlu dibimbing agar menjadi empunya kontrak dengan pihak berkenaan, kerana kebanyakannya merupakan pelaksana projek tersebut," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ahmad Fathi berkata, jumlah syarikat Bumiputera yang bernaung di bawah persatuan jelas menampakkan kecukupan syarikat Bumiputera yang mampu melaksanakan kontrak kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

 

 

pintare
Ahmad Fathi Dr Zainazlan

 

 

Katanya, jika kredibiliti syarikat-syarikat Bumiputera menjadi persoalan, pihak kerajaan, GLC atau mana-mana pihak pengguna tidak perlu bimbang kerana di Pintare, syarikat-syarikat Bumiputera bergerak bersama dan saling bantu-membantu. 

 

"Dengan ini, tiada masalah kerja tidak siap di waktu yang dijanjikan akan timbul kerana permasalahan tersebut akan dikongsi sesama ahli di dalam jaringan dan tidak lagi menjadi permasalahan kepada pihak yang memberi kontrak. Dengan cara ini juga, syarikat-syarikat tersebut dapat memberi peluang perniagaan di dalam jaringan," katanya.

 

Beliau berkata, syarikat yang dilantik untuk kontrak tersebut merupakan anak syarikat sebuah syarikat senaraian awam dan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Katanya, bukan sahaja ia diperoleh dari tender terpilih dari syarikat besar, malahan tidak ada satu intervensi dari aspek rantaian nilai yang boleh memanfaatkan pemain industri Bumiputera. 

 

"Lanjutan itu, pihak persatuan menyeru pengerusi syarikat berkenaan kerajaan itu untuk membuat suatu langkah intervensi agar perolehan selanjutnya dapat diutamakan kepada pemain industri Bumiputera dengan hasrat untuk menambah baik kebolehan mereka," katanya. - DagangNews.com