KUALA LUMPUR 5 Sept - Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) menyarankan kerajaan melaksanakan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dengan melibatkan pemain industri teknologi untuk menyumbang idea, penyelesaian dan modal.
PIKOM dalam satu kenyataan media berkata, penglibatan tersebut boleh dilakukan dalam bentuk pemadanan pemain teknologi dengan pengeluar yang mempunyai keperluan khusus, dan harus termasuk syarikat pemula niaga teknologi dan syarikat dengan pertumbuhan tinggi.
Menyambut baik pelaksanaan NIMP 2030, persatuan itu mempertimbangkan empat lagi pendekatan utama bagi melengkapkan empat misi dan empat pemboleh, yang menjadi aspirasi PIKOM untuk menyokong dan membantu pelaksanaan.
Selain penglibatan pemain teknologi, persatuan itu juga mencadangkan untuk menjalankan kerjasama dengan pemain teknologi di seluruh negara, di mana banyak penyelesaian atau kes penggunaan mungkin tidak baharu dan akan menyaksikan pelaksanaan yang boleh dipraktikkan di rantau ini.
PIKOM berkata kerjasama dengan ahli akademik perlu ditingkatkan memandangkan banyak penyelidikan dan pembagunan (R&D) dilakukan di universiti dengan penggunaan dan penyelesaian masalah dunia sebenar, yang harus dimanfaatkan.
“Meningkatkan program latihan dan perantisan dengan kemahiran sedia industri. Kakitangan kita adalah aset terbesar kita dan Malaysia berbangga dengan salah satu tenaga kerja terbaik di dunia. Program yang kukuh boleh membantu kami memadankan kemahiran yang sesuai untuk pekerjaan yang betul,” tambahnya.
Persatuan itu juga ingin pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) digalakkan dari usia yang lebih muda dan bukannya apabila pelajar perlu membuat keputusan kerjaya, justeru ia harus diterapkan awal dalam kurikulum.
Terdahulu, PIKOM berkata ia melihat NIMP 2030 sebagai pendekatan komprehensif dalam mengubah sektor pembuatan, di mana ‘teknologi untuk negara yang bertenaga secara digital’ akan menjadi kunci dalam memangkin keseluruhan ekosistem pembuatan.
Menurut persatuan itu, dengan matlamat yang dinyatakan untuk mengubah 3,000 kilang pintar, usaha sedemikian akan memberi dorongan kepada semua syarikat dalam menerima pakai rumusan pembuatan pintar.
“Hasil akhir tambah nilai kasar dan peningkatan gaji dalam sektor pembuatan hanya boleh dicapai dengan produktiviti, kualiti dan akses pasaran yang lebih baik. Teknologi boleh memainkan peranan penting.
“Pelan induk membentangkan visi yang sangat bernas dan jelas untuk masa depan. Ia berfungsi sebagai suar, menerangi laluan di hadapan dengan ketepatan dan tujuan. Bagaimanapun, dalam bidang pelaksanaan itulah keajaiban sebenar berlaku, di mana pelan tindakan berubah menjadi realiti,” katanya. - DagangNews.com








