KUALA LUMPUR 13 Julai - Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Lembaga Penjamin Simpanan (LPS) Indonesia memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang terjalin antara kedua-dua agensi tersebut.
Perjanjian terbaharu itu dimeterai berdasarkan MoU sebelumnya yang ditandatangani pada 2018 dan menekankan komitmen PIDM dan LPS untuk memupuk kerjasama erat bagi melindungi konsumer kewangan serta selaku pihak berkuasa resolusi di negara masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, komitmen berterusan melalui MoU ini akan mempersiapkan mereka bagi perkongsian yang lebih teguh.
"Dengan saling bertukar pandangan dan amalan terbaik, PIDM dan LPS berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran masa depan serta dapat meningkatkan daya tahan sektor kewangan masing-masing seterusnya memberi manfaat kepada konsumer kewangan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Pengerusi LPS, Purbaya Yudhi Sadewa pula berkata, melangkah ke hadapan, pihaknya akan terus memajukan usaha kolaboratif dan mengukuhkan kerjasama tersebut.
"MoU antara LPS dan PIDM ini amat dihargai. MoU ini akan menguatkan lagi dedikasi kami untuk bekerjasama dan mewujudkan rangka kerja bagi memperluaskan bidang kolaborasi demi kepentingan bersama," katanya.


PIDM dan LPS terus komited untuk mengekalkan hubungan rentas sempadan yang kukuh bagi memastikan kestabilan dan daya tahan sistem kewangan yang berterusan antara kedua-dua agensi. - DagangNews.com








