KUALA LUMPUR 11 Nov - MIDF Research yakin Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) akan meneruskan langkah mengembangkan produk kimia khusus untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam jangka sederhana hingga panjang.
Ini dapat dilihat apabila BRB International (BRB), anak syarikat milik penuhnya, baru-baru ini membuka fasiliti pembuatan bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia yang baru di Echt, Belanda.
Dilengkapi dengan piawaian keselamatan dan kualiti yang lebih tinggi, fasiliti baharu itu akan memberi tumpuan utama kepada pembuatan bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia (LAC), dan akan beroperasi sebagai pusat LAC untuk pasaran global.
Menurut MIDF Research, langkah pengembangan BRB itu adalah sejajar dengan strategi kepelbagaian kumpulan dalam derivatif, kimia khusus dan penyelesaian bagi memenuhi permintaan pengguna di rantau ini yang semakin meningkat dan berubah.
Katanya, pembukaan kemudahan itu juga menandakan pencapaian penting dalam mengukuhkan BRB sebagai penyedia penyelesaian yang inovatif.
"Kami percaya, kumpulan juga akan berusaha mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memastikan industri petrokimia yang lebih selamat dan bersih.
"Ini mendorong kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap PCG dengan harga sasaran tidak berubah pada RM11.93 sesaham," katanya dalam nota kajian hari ini.
Fasiliti di Echt ini mempraktikkan pengendalian yang lestari dalam pembuatan bahan tambahan minyak BRB, Petrolad®, yang menggunakan tenaga yang lebih rendah di samping mengurangkan jejak karbonnya secara keseluruhan dalam pembuatan produknya.
Amalan itu akan menyumbang kepada visi kelestarian PCG untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.
Setakat 9.51 pagi, harga saham PCG menokok 4 sen atau 0.46% kepada RM8.68 dengan 436,800 saham diniagakan. - DagangNews.com








