KUALA LUMPUR 3 Julai – Titijaya Land Berhad terus memperkukuh operasinya di Sabah apabila memperoleh beberapa tanah strategik bagi menyokong pelancaran projek baharu termasuk pembangunan hab komersial di Likas, Kota Kinabalu.
Langkah itu mencerminkan keyakinan pemaju hartanah gaya hidup bandar tersebut terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang di Sabah, sekali gus memperluaskan lagi portfolio pembangunannya di luar Lembah Klang.
Selain projek komersial di Likas, Titijaya turut meneruskan pembangunan projek penginapan pelajar berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang akan membantu mengatasi kekurangan kemudahan kediaman pelajar di universiti berkenaan, terutama dengan pembukaan Hospital UMS pada masa akan datang.
Dalam masa sama, hotel Citadines Waterfront Kota Kinabalu terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila menyumbang pendapatan sepanjang tahun kewangan berakhir 2025 (FY2025) disokong kadar penghunian yang stabil, peningkatan margin keuntungan operasi serta permintaan berterusan daripada pelancong perniagaan dan percutian.
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata sambutan menggalakkan terhadap projek The Shore dan Citadines Waterfront Kota Kinabalu mengukuhkan keyakinan syarikat terhadap potensi pertumbuhan pasaran hartanah di Sabah.
Menurut beliau, pemerolehan beberapa tanah strategik akan memperkukuh saluran pembangunan syarikat dan menjadi pemangkin kepada pelancaran projek-projek baharu, termasuk pembangunan komersial yang dirancang di Likas.

"Sabah terus mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur yang semakin baik, peningkatan pelancong serta pertumbuhan aktiviti perniagaan yang mewujudkan permintaan kukuh terhadap pembangunan kediaman, komersial dan hospitaliti yang berkualiti.
"Kami akan memanfaatkan pengalaman membangunkan projek-projek yang memenangi pelbagai anugerah di seluruh negara bagi menghasilkan pembangunan yang mampu memberikan nilai jangka panjang kepada pelanggan, pelabur dan komuniti setempat.
“Kami juga mahu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sabah dengan mewujudkan peluang pekerjaan, sokongan kepada sektor perdagangan dan pelancongan serta menggalakkan pembangunan bandar yang mampan," katanya dalam satu kenyataan.
Antara projek utama Titijaya di Sabah ialah The Shore, sebuah hab komersial pembangunan bercampur mewah yang turut menempatkan bangunan kediaman tertinggi di pusat bandar Kota Kinabalu.
Pembangunan itu merangkumi komponen kediaman, ruang runcit serta hotel Citadines Waterfront Kota Kinabalu yang mempunyai 396 unit dengan pemandangan Laut China Selatan.
Sehingga kini, Titijaya telah berjaya menyiapkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM5.4 bilion merangkumi pembangunan kediaman bertingkat tinggi, pembangunan bersepadu, hab komersial, pejabat kecil pejabat rumah (SoHo) serta projek perindustrian.
Kumpulan itu kekal memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin, pengurusan modal yang berhemat dan inovasi bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan. - DagangNews.com








