Pestech masih berdepan prospek mencabar, Kenanga Research semak turun harga sasaran kepada 66 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pestech masih berdepan prospek mencabar, Kenanga Research semak turun harga sasaran kepada 66 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Jun - Kenanga Research mengurangkan harga sasaran (TP) Pestech International Bhd. kepada 66 sen daripada 87 sen, sebaliknya mengekalkan pandangan 'outperform'. 

 

Pada masa sama, firma itu turut menyemak turun untung bersih Pestech bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) sebanyak 25%. 

 

Menurutnya, kumpulan mungkin mengalami tekanan kos dan pembayaran yang lemah secara berterusan dalam beberapa suku akan datang.

 

Namun, katanya, kerja-kerja pembangunan aerotren baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bermula pada suku keempat FY22 akan membantu meningkatkan pendapatan kumpulan secara berperingkat-peringkat. 

 

"Walaupun, kami mengekalkan unjuran hasil FY22 dan margin operasi projek bagi FY22-FY23, tetapi kami mengurangkan anggaran hasil FY23 kepada RM750 juta daripada RM1.05 bilion sebelum ini.

 

"Ini mendorong kami mengurangkan unjuran untung bersih Pestech bagi FY23 sebanyak 25% kepada RM52.5 juta dengan anggaran untung bersih FY22 kekal tidak berubah pada RM50.6 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Disember lalu, Pestech memperoleh kontrak untuk pembangunan Automated People Mover (APM) atau aerotren dan kerja berkaitan di KLIA berjumlah RM742.95 juta.

 

Projek itu membabitkan penggantian kenderaan APM baharu, bekalan kuasa, sistem komunikasi dan isyarat, peralatan stesen APM, kemudahan penyelenggaraan dan peralatan.

 

Menurut Kenanga Research, Pestech menyemak semula unjuran hasil yang lebih rendah bagi FY22 hingga FY23 antara RM700 hingga RM750 juta berbanding sebelum ini antara RM900 juta hingga RM1 bilion.

 

Katanya, semakan semula itu mengambil kira persekitaran pasaran yang mencabar, seperti aktiviti dan aliran kerja baharu yang lebih perlahan.

 

"Kumpulan juga memberi panduan bahawa margin keuntungan selepas cukai (PAT) berkurangan kepada 5 hingga 7% (daripada 9-11% kebiasaannya) memandangkan peningkatan kos kabel dan tembaga, yang digabungkan membentuk 15 hingga 20% daripada nilai kontrak, telah meningkat sebanyak 30% setakat ini," jelasnya.

 

Firma itu berkata, di bawah persekitaran kos input semasa yang tidak menentu, kumpulan lebih menjurus kepada kos tambahan kontrak baharu, bagi melindunginya daripada hakisan margin yang dialami dalam projek sedia ada, terutamanya projek transmisi dan substesen.

 

Sementara itu, tambahnya, prospek industri dalam jangka sederhana kekal positif, disokong oleh beberapa projek elektrifikasi rel di rantau ini seperti sistem metro baharu di Filipina dan Orange Line di Bangkok.

 

"Kami difahamkan keputusan tender akan diumumkan tidak lama lagi untuk satu projek metro di Filipina yang bernilai kira-kira AS$100 hingga AS$150 juta.

 

"Di Malaysia pula, projek ECRL bagi bahagian elektrifikasi bernilai RM300 juta masih belum diumumkan. Kesemua projek ini mempunyai potensi kepada Pestech," jelasnya.

 

Oleh itu secara keseluruhan, Kenanga Research berpendapat Pestech akan terus meraih manfaat daripada projek mega yang dihidupkan semula di dalam negara dan juga pasaran insfrastruktur tenaga yang semakin pantas berkembang di Indochina.  

 

Setakat 12.03 tengah hari ini, harga saham Pestech susut 1 sen atau 2.13% kepada 46 sen dengan 632,400 saham diniagakan. - DagangNews.com