Pertumbuhan pendapatan Paramount Corp pada FY23-25 disokong jualan hartanah lebih kukuh – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan pendapatan Paramount Corp pada FY23-25 disokong jualan hartanah lebih kukuh – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR  7 Sept - TA Securities kekal optimis terhadap pertumbuhan pendapatan Paramount Corporation Bhd (PCB) pada tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25), disokong oleh rekod jualan belum dibil sebanyak RM1.5 bilion, jualan hartanah berterusan dan penambahan bank tanah yang proaktif.

 

Firma penyelidikan tersebut menjangkakan FY23 akan menjadi tahun penting berikutnya untuk pemaju hartanah itu kerana pendapatannya diunjurkan melebihi RM1 bilion buat kali pertama.

 

Susulan taklimat pelabur selepas keputusan separuh kedua tahun kewangan 2023 (1HFY23) dengan PCB, firma itu berkata ia mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.17 sesaham berdasarkan gandaan nisbah harga saham-kepada-buku bagi tahun kalendar 2024 sebanyak 0.5 kali.

 

Bagi 2HFY23, firma itu berkata pengurusan berkongsi bahawa ia akan melancarkan hartanah baharu bernilai RM714 juta untuk memacu sasaran jualannya sebanyak RM1.2 bilion.

 

“Kami menjangkakan PCB dapat mencapai sasaran jualannya sebanyak RM1.2 bilion berikutan sambutan positif terhadap pelancaran hartanahnya baru-baru ini. Terutamanya, angka jualan yang dicapai pada separuh pertama tahun ini sudah menyumbang 51% daripada sasaran,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata PCB berhati-hati tentang prospek sektor hartanah tempatan berikutan jualan memberangsangkan sebahagiannya disebabkan oleh ketidakseimbangan permintaan-bekalan sementara.

 

Walaupun PCB menjangkakan prospek sektor lemah , kumpulan itu tetap berharap pertumbuhan mampan didorong ekonomi domestik yang lebih kukuh dan dasar mesra pelaburan.

 

Dalam pada itu, TA Securities berkata Paramount Corp, yang turut mengendali perniagaan ruang kerja bersama iaitu Co-labs Corwoking, sedang meneroka untuk meningkatkan kapasiti bahagian berkenaan sebanyak 45% menjelang akhir tahun ini, memanfaatkan peningkatan permintaan untuk ruang kerja fleksibel selepas COVID.

 

“Dengan ekonomi Malaysia menuju ke arah pemulihan, pihak pengurusan optimis mengenai prestasi bahagian kerja bersama bagi tahun tersebut.

 

“Menariknya, ruang kerja bersama, yang secara tradisinya dikaitkan dengan pekerja gig, pekerja bebas dan pemula niaga, kini menarik syarikat besar. PCB juga telah melihat peralihan ini, dengan pelanggan perusahaan dan korporat kini menduduki 50% daripada ruang kerja bersamanya, meningkat dengan ketara daripada paras sebelum pandemi sebanyak 20%,” tambahnya.

 

Setakat pukul 10:15 pagi ini, saham Paramount Corp tidak berubah pada 97 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM604 juta. - DagangNews.com