Perdana Menteri yakin Perodua mampu capai sasaran peningkatan jualan 30.2% kepada 247,800 unit kenderaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdana Menteri yakin Perodua mampu capai sasaran peningkatan jualan 30.2% kepada 247,800 unit kenderaan

Gambar paultan.org
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mampu mencapai sasaran peningkatan jualan sebanyak 30.2% kepada 247,800 unit kenderaan bagi tahun 2022, berbanding 190,291 kenderaan pada tahun lepas.

 

Ismail Sabri berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan pertumbuhan 17.9% dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 600,000 unit pada tahun ini berbanding 508,911 unit yang dicatatkan tahun lepas.

 

Beliau berkata, kerajaan menyedari kepentingan potensi industri automotif terhadap ekonomi negara selepas negara beransur pulih daripada pandemik COVID-19.

 

"Saya yakin sasaran tersebut dapat dicapai berikutan pertumbuhan industri automotif negara yang memberangsangkan pada suku pertama tahun ini dengan 61,624 kenderaan didaftarkan, peningkatan sebanyak 6.4% berbanding 57,909 kenderaan yang dijual antara Januari dan Mac tahun lepas," katanya ketika berucap melancarkan Perodua Alza serba baharu, di sini hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, impak kemajuan industri automotif negara dapat dilihat melalui aktiviti ekonomi yang dijana seperti mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran teknikal, pindahan teknologi dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing.

 

"Saya difahamkan terdapat seramai 11,500 pekerja tempatan di Perodua yang terdiri daripada pekerja operator hingga ke tahap pengurusan," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, selain itu, syarikat automotif nasional juga turut bertanggungjawab memajukan industri melalui pelaburan lestari dan pada masa yang sama berusaha untuk meningkatkan kebolehan syarikat-syarikat tempatan dari sudut kualiti, teknologi dan produktiviti. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) ketika pelancaran Perodua Alza Serba Baharu hari ini.

 

 

Malah katanya, Perodua turut membuktikan komitmen berterusan kepada sektor automotif tempatan dengan pembelian komponen automotif sebanyak RM7 bilion secara purata setiap tahun.

 

Beliau berkata, keuntungan daripada pembelian komponen tempatan ini dapat digunakan oleh syarikat-syarikat tempatan untuk terus memajukan perniagaan masing-masing sama ada mengembangkan operasi ataupun melabur dalam teknologi baharu.

 

"Saya difahamkan terdapat syarikat komponen tempatan yang telah menjadi pembekal komponen kepada syarikat Daihatsu di Jepun. Ini satu pencapaian yang amat membanggakan negara kerana lazimnya kita import komponen dari Jepun tetapi kini kita yang mengeksportkannya ke Jepun. Syabas saya ucapkan!," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan amat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Perodua yang kini merupakan syarikat automotif nasional utama negara sejak tahun 2006 dan menjadi jenama buatan tempatan yang dipercayai dalam kalangan Keluarga Malaysia.

 

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pemegang saham Perodua, antaranya Permodalan Nasional Berhad, UMW Holdings Berhad, MBM Resources Berhad, Daihatsu Motor Company of Japan dan sebagainya kerana masih dapat bekerjasama secara harmoni.

 

"Kestabilan ini amat penting bagi mengukuhkan industri automotif negara dan memberi keyakinan bukan sahaja kepada para pelanggan dan para pekerjanya malah kepada kerajaan," katanya.

 

Beliau berkata, usaha yang telah dilaksanakan pihak Perodua juga harus menjadi contoh oleh syarikat-syarikat tempatan yang lain di mana kepentingan negara didahulukan demi kesejahteraan semua.

 

Pada masa sama, beliau berharap Perodua dapat mencari peluang untuk memasarkan produk-produknya hingga ke peringkat antarabangsa.

 

"Saya mengambil maklum bahawa kenderaan keluaran Perodua kini bertapak di enam buah negara dan saya yakin jumlah eksport itu mampu dipertingkatkan pada masa akan datang. Kerajaan juga bersedia membantu pihak Perodua untuk meluaskan pasaran yang sedia ada dan membantu mencari pasaran baharu.

 

"Saya berharap Perodua akan terus mempertingkatkan kebolehan pengeluarannya sekaligus mencapai skala ekonomi yang kompetitif setaraf dengan syarikat-syarikat asing di rantau ini. Peluang untuk kita maju amat cerah jika kita terus berusaha dan bekerjasama untuk mencapai kejayaan yang kita inginkan," katanya. - DagangNews.com