Penubuhan Majlis Statistik dan Data Negeri Terengganu mampu beri impak positif penyelarasan data lebih sistematik - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penubuhan Majlis Statistik dan Data Negeri Terengganu mampu beri impak positif penyelarasan data lebih sistematik - DOSM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt - Penubuhan Majlis Statistik dan Data Negeri (MSDNg) Terengganu mampu memberikan impak positif antaranya capaian dan penyelarasan data lebih sistematik daripada pelbagai sumber serta meningkatkan 'data-culture' dalam proses membuat keputusan berasaskan bukti, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Terengganu.

 

DOSM Terengganu memaklumkan, penubuhan MSDNg di negeri itu merupakan satu agenda utama dalam Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) yang bertujuan memperkukuh sistem statistik sedia ada dengan penyelarasan lebih berkesan dalam membekalkan data bagi merangka dasar dan pembangunan negara.

 

"MSDNg Terengganu dianggotai seramai 49 orang terdiri daripada Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah, Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri. 

 

"Manakala Majlis Statistik Data Daerah (MSDD) terdiri daripada Pegawai Daerah, Datuk Bandar/Yang Dipertua, pegawai di peringkat persekutuan dan negeri yang berkaitan bidang keutamaan statistik," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempengerusikan mesyuarat pertama MSDNg negeri.

 

Selain itu, turut diadakan Pelancaran Unit Geographic Information System(GIS) Negeri Terengganu (UGIST) yang diselaraskan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) dan merupakan agensi induk sebagai pemantau dan sumber maklumat rasmi ekonomi negeri meliputi maklumat hasil guna tanah bagi keseluruhan sektor di negeri Terengganu.

 

Penubuhan MSDNg itu merupakan susulan daripada mesyuarat tertinggi Majlis Statistik dan Data Negara Bil 1/2022 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 27 Januari 2022.

 

 

DOSM

 

 

Menurut DOSM Terengganu, penubuhan MSDNg dan MSDD di setiap negeri adalah penting bagi memperkasakan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah sehingga peringkat terkecil.

 

Katanya, MSDNg bertindak sebagai majlis tertinggi di peringkat negeri dalam merancang dan menentukan hala tuju bagi memperkukuh penyelarasan statistik negeri dan daerah serta merangka dasar, strategi dan pelan tindakan yang jelas agar pengurusan sistem statistik rasmi negeri kekal dinamik dan relevan. 

 

Sementara itu, MSDD berperanan dalam merangka strategi, tadbir urus penyelarasan dan pengurusan sektor awam dan swasta di peringkat daerah serta menyelaras keperluan teknikal, serta standard kualiti data dan statistik di peringkat daerah. - DagangNews.com