KUALA LUMPUR 22 Feb - Pentamaster Corporation Berhad mencatat untung bersih RM89 juta dalam tahun kewangan 2023 (FY23), meningkat 8% daripada RM82 juta tahun sebelumnya.
Syarikat pembuatan automasi dan penyedia rumusan teknologi itu memperoleh pendapatan berjumlah RM691.9 juta, 15% tinggi berbanding RM600.6 juta tahun sebelumnya.
Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan itu pula menokok kepada 12.53 sen pada FY23 daripada 11.58 sen sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pada FY23, segmen peralatan ujian automatik (ATE), yang merangkumi 65.4% daripada pendapatan kumpulan, menyumbang pendapatan 6.9% lebih tinggi berjumlah RM452.8 juta berbanding RM182.7 juta dalam FY22.
Sementara itu, segmen rumusan automasi kilang (FAS), yang menyumbang 34.6% daripada pendapatan Pentamaster, mencatat lonjakan 40% kepada RM255.5 juta daripada RM182.7 juta tahun sebelumnya.
Bagi tahun kewangan 2023, kumpulan itu menjangkakan cabaran makroekonomi akan berterusan, menandakan kelemahan dan kerapuhan yang berterusan dalam landskap ekonomi.
Bagaimanapun, kumpulan itu berkata ia berusaha untuk mencapai pertumbuhan perniagaan yang berterusan dengan tumpuan teguh pada segmen dengan pertumbuhan tinggi.
“Segmen peranti perubatan kini menguasai bahagian terbesar buku pesanan semasa kumpulan dan segmen ini akan meneruskan momentum pertumbuhan yang kukuh pada 2024, terutamanya didorong oleh penggunaan meluas automasi dalam pembuatan perubatan,” katanya.
Di samping itu, Pentamaster berkata buku pesanannya diperkukuh segmen automotif yang disokong oleh rangkaian lengkap rumusan produk kumpulan dalam segmen ini.
Dengan kehadiran teguh di rantau seperti Eropah dan Amerika Syarikat, kumpulan itu menyasarkan untuk menembusi negara-negara seperti Taiwan dan Jepun dilihat sebagai kawasan yang menjanjikan pertumbuhan seterusnya, terutamanya dalam konteks elektrifikasi automotif.
“Kumpulan menjangkakan perkembangan sedemikian dalam pasaran ini akan membuahkan hasil yang positif dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan kumpulan dalam segmen automotifnya,” tambahnya. - DagangNews.com








