Pengurus dana harap UEM Sunrise segera bangunkan komponen perindustrian di Gerbang Nusajaya - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pengurus dana harap UEM Sunrise segera bangunkan komponen perindustrian di Gerbang Nusajaya - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 April - Para pengurus dana berharap rancangan UEM Sunrise untuk membangunkan komponen perindustrian di Gerbang Nusajaya dapat dilaksanakan dengan segera yang bakal menyokong pertumbuhan projek hartanah tersebut.

 

RHB Investment Bank berkata, pembangunan perindustrian yang dirancang pihak pengurusan mampu memanfaatkan peluang yang ada tetapi pelaksanaannya menjadi faktor penting.

 

Katanya, banyak pihak memandang positif pembangunan perindustrian dan faktor pemangkin prasarana di Iskandar Malaysia dengan mereka juga bersetuju yang bank tanah milik UEM Sunrise terletak di lokasi paling strategik.

 

Oleh itu, jelas firma penyelidikan tersebut, ia boleh memanfaatkan kesan limpahan dan permintaan yang kian berkembang.

 

"Pelaksanaan kini menjadi faktor penting. Pihak pengurusan mengakui bahawa harga sahamnya sekarang sudah mengambil kira jangkaan pasaran mengenai pelaksanaan projek-projeknya yang akan datang. 

 

"Walau bagaimanapun, UEM Sunrise yakin ia mampu menarik minat industri-industri yang disasarkan dengan menjayakan pelan yang sedang dilaksanakan, berikutan lokasi strategik dan kemudahan yang tersedia di tanah di Gerbang Nusajaya," katanya dalam nota penyelidikan  hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, lebih ramai pelabur kini positif akan hala tuju strategi jangka terdekat UEM Sunrise untuk merungkai pemangkin-pemangkin di Iskandar Malaysia. 

 

Katanya, Taman Teknologi Nusajaya, melibatkan usaha sama dengan CapitaLand Development yang berjaya dimajukan menjadi bukti terbaik kepada potensi kawasan itu dan patut membantu membentuk harapan baharu mengenai pembangunan perindustrian UEM Sunrise yang akan datang di Johor.

 

"Harga saham UEM Sunrise masih berpotensi menaik apabila pihaknya merancang untuk membangunkan tanah seluas 3,000 ekar di Iskandar Puteri, dan kami yakin bahawa pelaksanaan projek ini akan berjalan dengan baiknya

 

"Cadangan projek-projek seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, Transit Aliran Ringan Johor Bahru dan juga kemungkinan untuk menaik taraf laluan kereta api Pelabuhan Tanjung Pelepas juga akan menambah lagi tarikan bagi pelan ini," jelasnya.

 

Kata RHB Investment, pelaksanaan pelan pembangunan oleh pihak pengurusan pada masa yang tepat patut menaikkan harga sahamnya yang disarankan 'Beli" dengan harga sasaran (TP), RM1.60 sesaham.

 

"Pembetulan harga saham UEM Sunrise baru-baru ini (disebabkan oleh isu ketegangan geopolitik yang melanda rantau Timur Tengah) membuka peluang baik untuk para pelabur mula membeli saham UEM Sunrise setelah terlepas peluang sebelum ini," katanya.- DagangNews.com