Pengurangan harga gentian rumah CelcomDigi dijangka tidak beri kesan ketara kepada pendapatan FY23 – AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengurangan harga gentian rumah CelcomDigi dijangka tidak beri kesan ketara kepada pendapatan FY23 – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Pengurangan harga gentian rumah yang dilaksanakan oleh CelcomDigi dijangka tidak memberi kesan ketara kepada pendapatan kumpulan dalam tahun kewangan 2023 (FY23), menurut AmInvesment Bank Research.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa purata sumbangan pendapatan lima tahun segmen itu adalah kurang daripada 2% daripada jumlah pendapatan perkhidmatan kumpulan.

 

Terdahulu, CelcomDigi telah mengumumkan pengurangan harga pelan gentian rumahnya, selepas memuktamadkan perjanjian akses dengan Telekom Malaysia (TM), yang dilaksanakan berdasarkan standard mandatori mengenai harga akses (MSAP) baharu.

 

Firma itu menganggap bahawa ini adalah sebahagian daripada strategi penggabungan CelcomDigi untuk mengekalkan dan merekrut pelanggan baharu.

 

Meskipun Maxis belum memuktamadkan pengurangan harganya, firma itu percaya harganya akan setanding dengan pembekal lain

 

“Kami percaya sumbangan pendapatan FY23 daripada gentian rumah kekal tidak berubah memandangkan pengurangan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) dalam unit gentian rumah akan mendapat pampasan daripada caj trafik yang lebih rendah.

 

“Selain itu, kami menjangkakan tiada perubahan dalam ARPU pascabayar kerana rebat untuk pelanggan pascabayar telah ditarik balik, yang akan mengimbangi kesan pengurangan harga,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

AmInvestment berkata sebagai tambahan kepada semakan harga, CelcomDigi juga telah menandatangani perjanjian akses dengan Time dotCom Berhad.

 

Ini akan membolehkan CelcomDigi mengembangkan pangkalan pelanggan gentian rumahnya di bangunan bertingkat tinggi.

 

Kumpulan itu juga akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan gentiannya melalui kelajuan pautan atas/turun Time yang simetri dan pemasangan gentian lebih pantas.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) tidak berubah pada RM4.40 sesaham.

 

Pada pukul 12:16 tengah hari, saham CelcomDigi didagang rendah pada RM4.31, susut 2 sen atau 0.5% dengan permodalan pasaran bernilai RM50.6 bilion. - DagangNews.com