Pengeluaran getah asli turun kepada 29,451 tan pada Januari berbanding 30,556 tan Disember 2022 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran getah asli turun kepada 29,451 tan pada Januari berbanding 30,556 tan Disember 2022 - DOSM

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 14 Mac - Pengeluaran getah asli menurun 3.6% pada Januari kepada 29,451 tan berbanding 30,556 tan pada Disember 2022, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan 39.3% (Januari 2022: 48,546 tan).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli pada Januari tahun ini disumbangkan oleh sektor pekebun kecil iaitu 84.2% berbanding sektor estet 15.8%

 

Menurutnya, jumlah stok getah asli pada Januari itu juga menurun 3.4% kepada 194,553 tan berbanding 201,360 tan pada Disember 2022, kilang pemproses getah pula menyumbang stok akhir sebanyak 90.7% diikuti kilang pengguna getah 9.2% dan estet getah 0.1%.

 

“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 40,867 tan pada Januari 2023 menurun 16.3% berbanding Disember 2022 (48,797 tan). 

 

"China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 41.2% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2023 diikuti Turkiye (5.4%), Jerman (5.1%), Amerika Syarikat (3.6%) dan Brazil (2.7%),” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

 

Tambahnya, produk sarung tangan getah adalah eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.9 bilion pada Januari 2023, menurun 14.0% berbanding Disember 2022 (RM1.09 bilion).

 

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 6.8% (Januari 2023: 502.05 sen sekilogram; Disember 2022: 470.21 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat 0.6% (Januari 2023: 463.84 sen sekilogram; Disember 2022: 461.20 sen sekilogram).

 

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 1.7% hingga 6.7%.

 

World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masingmasing meningkat 4.9% (daripada AS$1.35/kg kepada AS$1.41/kg) dan meningkat 6.2% (daripada AS$1.54/kg kepada AS$1.63/kg).

 

Berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest Januari 2023, aliran pasaran meningkat disokong oleh prestasi pasaran di China dan Amerika Syarikat yang lebih baik daripada jangkaan.

 

Dilaporkan juga aktiviti pasaran China melepasi jangkaan pada Januari kesan pelonggaran anti-covid serta cuti tahun baharu. - DagangNews.com