Pengasas Sanichi Jacky Pang muncul sebagai pemegang saham besar Apex Equity | DagangNews Skip to main content

Pengasas Sanichi Jacky Pang muncul sebagai pemegang saham besar Apex Equity

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai - Pengasas dan Pengarah Urusan Sanichi Technology Bhd, Datuk Sri Dr Jacky Pang Chow Huat telah muncul sebagai pemegang saham besar Apex Equity Holdings Bhd, dengan 9.69% atau 19.6 juta saham.

 

Jacky telah membeli tambahan 10.2 juta saham dalam firma broker saham itu pada Rabu lalu (26 Julai), menurut makluman Apex Equity kepada Bursa Malaysia semalam, tanpa mendedahkan harga pembelian.

 

Pang kini merupakan pemegang saham kedua terbesar Apex Equity, selepas Fun Sheung Development Ltd dengan pegangan 15.78%.

 

Sementara itu, pemegang saham ketiga terbesar Apex adalah Concrete Parade Sdn Bhd, yang dikawal oleh Lim Beng Guan, pengasas bersama firma kewangan korporat ZJ Advisory Sdn Bhd, dengan 8.68% kepentingan.

 

Jacky Pang menjadi tumpuan pada akhir Mac apabila ahli perniagaan itu menjual 49.76% pegangannya dalam Computer Forms (M) Bhd selepas saham itu menjunam daripada parasnya sekitar RM2.90 hingga 22 sen.

 

Beliau turut memegang kepentingan dalam Fitters Diversified Bhd dengan 8.12% kepentingan.

 

Pada hari dagangan semalam, saham Apex Equity ditutup turun 1 sen atau 0.85% kepada RM1.16, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM248 juta.

 

Manakala saham Sanichi tidak berubah pada dua sen dengan permodalan pasaran bernilai RM28 juta.  - DagangNews.com