KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pendapatan separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) Globetronics Technology Berhad (GTB) terus kurang memberangsangkan apabila syarikat tersebut melaporkan pendapatan suku tahunan terendah dalam rekod pada 2Q24.
Sehubungan itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan unjuran pendapatan FY24-FY26 sebanyak 19% hingga 36% dengan saranan 'Pegang' dikekalkan dan harga sasaran (TP) disemak kepada lebih rendah pada RM1.17 sesaham berbanding RM1.65 sebelum ini.
"Tanpa faktor luar biasa (+RM0.6 juta), Globetronics mencatatkan keuntungan teras 2Q24 sebanyak RM4.6 juta (+40% YoY/+7% QoQ).
"Secara keseluruhan, keuntungan bersih teras 1H24 Globetronics sebanyak RM9.6 juta (+45% YoY) hanya mencapai 31% daripada anggaran FY24 kami.
"Untuk pertama kalinya, dividen interim suku kedua tidak diumumkan (2Q23: 1sen; DPR @ 94%) – ini dijangka kerana kami telah mengurangkan andaian DPR kami sebelum ini (80%/70%/60% dalam FY24-26E berbanding 89% dalam FY23), selaras dengan panduan pengurusan semasa taklimat pelabur yang lalu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB, prospek Globetronics pada separuh kedua FY24 terus kabur di tengah-tengah ketidakpastian dengan pendapatan 2Q24 GTB sebanyak RM27.8 juta (-12% YoY/-7% QoQ) adalah penghantaran terendah suku tahunan dalam rekod.
Kata firma tersebut, pendapatan Globetronics kemungkinan akan terus mengalami prestasi yang kurang baik pada 2H24, dengan pengurusan memberi panduan pemuatan volum yang mendatar atau lebih rendah YoY.
"Penggunaan kilang campuran FY24 Globetronics juga dijangka berada dalam lingkungan sekitar 65%.
"Dengan permintaan yang tidak mungkin meningkat dalam masa terdekat di tengah-tengah persaingan sengit dalam pasaran wearables premium dan ketidakpastian jadual mengenai pengambilan pelanggan baru, kami menurunkan FY24-26E sebanyak 36%/20%/19% masing-masing," jelasnya.
Kata firma itu, ekonomi yang tidak efisien dari penggunaan kilang yang lebih rendah dan kos tetap yang tinggi juga menyebabkan margin EBIT 2Q24 Globetronics menyusut 4.7 mata peratus YoY/2.6 mata peratus QoQ kepada 19.4%.
"Kekurangan pendapatan disebabkan terutamanya oleh kelemahan pemuatan volum dari pelanggan sensor dan SSL/LEDnya," ujarnya. - DagangNews.com








