Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli sedang dimuktamadkan - Mustapa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli sedang dimuktamadkan - Mustapa

Mustapa Mohamed

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli yang komprehensif sedang dimuktamadkan untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli. 

 

Walaupun kerajaan telah menggubal dasar dan melaksanakan program serta projek pembangunan untuk masyarakat Orang Asli, namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada masa ini, mereka masih lagi ketinggalan dari segi pembangunan sosioekonomi. 

 

Katanya, pada 2019, insiden kemiskinan dalam kalangan Orang Asli adalah kira-kira 33.6%.

 

“Tahap pendidikan dalam kalangan Orang Asli yang rendah mengurangkan mobiliti sosial dan kebolehpasaran kumpulan ini. Infrastruktur asas yang tidak mencukupi, kekurangan ameniti dan perkhidmatan seperti jalan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air terawat dan telekomunikasi telah menjejaskan kesejahteraan komuniti ini. 

 

“Isu berkaitan pembangunan tanah Orang Asli juga menjejaskan sosioekonomi mereka. Selain itu, pembangunan Orang Asli juga harus merentasi kementerian, bukan hanya bergantung Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Pembanguan Luar Bandar (KPLB),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Sebelum itu, Mustapa berkata, satu pertemuan secara dalam talian berhubung ‘Poverty Circle’ atau Kumpulan Pemikir Mengenai Kemiskinan diadakan buat kali kedua yang telah membincangkan secara khusus mengenai isu-isu berkaitan pembangunan masyarakat Orang Asli. 

 

Perbincangan tersebut telah dihadiri oleh 35 orang wakil dari pihak kerajaan, pihak berkuasa koridor, sektor swasta, ahli akademik, Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) serta wakil masyarakat Orang Asli. 

 

Ini bertujuan berkongsi amalan terbaik dalam menangani isu kemiskinan dalam masyarakat Orang Asli menggunakan pendekatan keseluruhan negara (whole of nation approach) yang melibatkan semua pihak berkepentingan.

 

Pada pertemuan tersebut, dua kertas telah dibentangkan iaitu Status dan Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli oleh Jakoa; dan Tanggung Jawab Sosial Korporat (CSR) Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic Pos Gob, Gua Musang, Kelantan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

 

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kesejahteraan masyarakat Orang Asli akan dipertingkat bagi memastikan komuniti tersebut boleh menikmati pembangunan sosioekonomi negara dengan lebih bermakna. 

 

“Pendekatan pembangunan yang komprehensif dengan tumpuan kepada pendidikan, menumpukan kepada usaha mengurangkan kemiskinan serta menyediakan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan asas yang lebih baik. 

 

“Kerjasama antara agensi akan diperkukuh untuk memantapkan penyampaian perkhidmatan. Kesemua inisiatif ini dijangka membantu pencapaian pembangunan yang inklusif serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli,” katanya lagi. - DagangNews.com