KUALA LUMPUR 26 Jun - Pelabur asing berlanjutan menjual bersih ekuiti Malaysia bagi minggu ke-10 berturut-turut, mencatat aliran keluar sebanyak RM240 juta minggu lepas berbanding RM189.4 juta minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata ini merupakan rentetan jualan bersih pelabur asing paling lama tahun ini, yang mana sepanjang 10 minggu lalu, aliran keluar bersih mereka berjumlah RM2.06 bilion.
Mereka telah menjual bersih setiap hari minggu lalu dengan jumlah tertinggi pada Jumaat sebanyak RM96.2 juta manakala hari lain mencatat aliran keluar sebanyak RM19.9 juta (Isnin), RM91 juta (Selasa), RM17.7 juta (Rabu) dan RM15.2 juta (Khamis), berikutan sentimen lemah di Wall Street.
“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih pelabur asing minggu lepas adalah hartanah (RM14.5 juta), perkhidmatan kewangan (RM14.1 juta) dan teknologi (RM11.5 juta).
“Sektor dengan aliran keluar paling banyak adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM92.2 juta), tenaga (RM47.2 juta) dan perindustrian (RM34.5 juta),” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Menurutnya, pelabur asing telah telah menjual bersih ekuiti tempatan selama 19 daripada 25 minggu tahun ini berjumlah RM3.83 bilion, menjadikan Malaysia pasaran kedua terburuk dari segi aliran dana asing, berbanding dengan lapan bursa saham lain.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan meneruskan pembelian bersih untuk minggu keempat berturut-turut pada RM250.3 juta, dengan aliran masuk setiap hari bernilai RM31.8 juta pada Isnin, diikuti RM67.1 juta (Selasa), RM34.4 juta (Rabu), RM23.1 juta (Khamis) dan RM94 juta (Jumaat).
Berbeza dengan pelabur asing, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 19 daripada 25 minggu, dengan jumlah keseluruhan RM3.45 bilion.
Sebaliknya, pelabur runcit tempatan mencatat dagangan bercampur-baur minggu lalu yang berakhir dengan jualan bersih RM10.3 juta.
“Mereka membeli bersih RM23.9 juta pada Selasa dan RM2.3 juta pada Jumaat manakala aliran keluar direkodkan pada Isnin (RM11.9 juta), Rabu (RM16.7 juta) dan Khamis (RM7.9 juta),” tambahnya.
Setakat ini, pelabur runcit telah menjadi pembeli bersih selama 13 daripada 25 minggu dengan jumlah RM381.6 juta.
Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) bagi pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing menurun sebanyak 10.3%, 19.6% dan 31%. - DagangNews.com








