Pelabur asing jual RM435.1 juta ekuiti tempatan bagi minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual RM435.1 juta ekuiti tempatan bagi minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - Pelabur asing mengekalkan momentum jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut, dengan aliran keluar RM435.1 juta ekuiti minggu lepas, iaitu peningkatan sebanyak 38.6% berbanding minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata, pembelian bersih untuk tiga hari berturut-turut oleh pelabur asing itu berakhir pada Isnin, berjumlah RM13.7 juta.

 

Katanya, data rasmi mendedahkan bahawa indeks utama Malaysia berkembang sebanyak 3.2% pada Januari 2024, menunjukkan prospek yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang.

 

Bagaimanapun, bermula Selasa dan seterusnya, jualan bersih disambung semula.

 

"Sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah hartanah (RM87.1 juta), pembinaan (RM20.2 juta), dan tenaga (RM16.9 juta), manakala sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM210.8 juta), produk & perkhidmatan pengguna (RM123.3 juta) dan perladangan (RM94.7 juta)," katanya dalam laporan aliran dana mingguan berakhir 29 Mac 2024 hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan kekal dalam aliran belian bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan pembelian bersih RM587.7 juta.

 

 

Katanya, tidak seperti pelabur asing, mereka mencatat jualan bersih RM11.9 juta pada Isnin, diikuti dengan belian bersih RM599.6 juta dari Selasa hingga Jumaat.

 

"Peruncit tempatan mengekalkan jualan bersih mereka minggu lepas, berjumlah RM152.7 juta, menjual setiap hari dagangan selama 16 hari lalu.

 

"Dari segi pergerakan pelabur, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menurun untuk pelabur runcit dan institusi masing-masing sebanyak 0.9% dan 0.7% manakala pelabur asing mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.5%," katanya. - DagangNews.com