Pelabur asing jual RM189.4 juta ekuiti Malaysia bagi minggu kesembilan berturut-turut – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual RM189.4 juta ekuiti Malaysia bagi minggu kesembilan berturut-turut – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jun - Pelabur asing telah menjual bersih RM189.4 juta ekuiti Malaysia pada minggu lalu bagi minggu kesembilan berturut-turut, lebih rendah berbanding RM443.8 juta minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata, pelabur asing telah menjadi penjual selama 18 daripada 24 minggu tahun ini dengan jumlah keseluruhan aliran keluar bersih sebanyak RM3.66 bilion.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing telah menjual bersih setiap hari dagangan minggu lepas kecuali Isnin ketika mereka membeli saham di kaunter seperti Maybank (RM17.7 juta), RHB Bank (RM8.6 juta) dan YTL Corporation (RM8.5 juta).

 

“Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih pelaburan asing adalah pengangkutan dan logistik (RM103.9 juta), pembinaan (RM28.4 juta) serta produk pengguna dan perkhidmatan (RM14.3 juta).

 

“Manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar bersih pelaburan asing adalah perkhidmatan kewangan (RM141.4 juta), perladangan (RM60.1 juta) serta perindustrian produk dan perkhidmatan (RM50.4 juta),” katanya dalam nota hari ini.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli untuk minggu ketiga berturut-turut dengan aliran masuk bersih RM81.2 juta pada minggu lalu.

 

Mereka telah menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan selama 18 daripada 24 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran masuk bersih RM3.2 bilion.

 

Pelabur runcit tempatan juga kekal membeli bagi minggu keempat berturut-turut dengan aliran masuk bersih RM108.3 juta.

 

Setakat ini, pelabur runcit tempatan telah menjadi pembeli bersih untuk 13 daripada 24 minggu dengan mencatatkan aliran masuk bersih berjumlah RM418.2 juta.

 

Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) di seluruh pelabur iaitu pelabur runcit sebanyak 13.7% diikuti institusi tempatan (15.1%) dan pelabur asing (46.5%). -DagangNews.com