Pelabur asing beli RM1.41 bilion ekuiti Malaysia pada Julai setelah menjual 10 bulan berturut-turut, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing beli RM1.41 bilion ekuiti Malaysia pada Julai setelah menjual 10 bulan berturut-turut, kata Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Aliran dana pelabur asing kembali positif pada Julai apabila mereka membeli bersih RM1.41 bilion ekuiti Malaysia selepas jualan bersih selama 10 bulan berturut-turut, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata hal demikian mengurangkan jualan bersih mereka untuk tujuh bulan pertama tahun (7M 2023) ini kepada RM2.78 bilion.

 

Menurut firma tersebut, pembelian ekuiti pada Julai lebih ketara dari 12 Julai, berterusan sehingga akhir bulan selepas Naratif Ekonomi Madani dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) diumumkan pada 27 Julai.

 

 

Carta beli/(jual) bersih harian dan kumulatif oleh pelabur asing sejak awal 2023

Carta beli/(jual) bersih harian dan kumulatif oleh pelabur asing sejak awal 2023

 

 

“Pasaran pegangan asing bagaimanapun berkurang semula kepada 19.7% pada 31 Julai daripada 19.9% akhir Jun, paras terendah baharu sejak GFC (krisis kewangan global). Ini mungkin disebabkan oleh kesan penyebut (denominator) kerana had pasaran di bursa meningkat 5.2% MoM (bulan ke bulan),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Berdasarkan data Dibots, Maybank IB berkata saham teratas yang dibeli oleh pelabur asing pada Julai adalah Tenaga Nasional Bhd (TNB) merupakan saham pilihan teratas yang dibeli oleh diikuti oleh Maybank, KL Kepong, Malaysia Airports dan Public Bank, manakala jualan teratas direkodkan bagi CIMB, Hong Leong Bank, RHB Bank, Petronas Chemicals dan Telekom.

 

Pada 7M 2023, firma itu berkata saham yang mencatat jualan teratas pelabur asing adalah CIMB, Public Bank, Petronas Chemicals, RHB Bank dan Hong Leong Bank, manakala pembelian teratas dalam Gamuda, Malaysia Airports, Maybank, CelcomDigi dan YTL.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan dan runcit bertukar menjadi penjual bersih ekuiti tempatan pada Julai, di mana masing-masing mencatat aliran keluar RM860 juta dan RM560 juta dalam bulan tersebut berbanding aliran masuk yang dicatatkan dalam Jun pada RM1.03 bilion dan RM310 juta.

 

“Disebabkan aktiviti dagangan yang lebih tinggi di bursa, pergerakan perdagangan pelabur asing (kecuali transaksi perniagaan secara langsung) turun MoM pada 29.6% (Jun: 33%); institusi tempatan 42.4% (Jun: 39.9%) dan runcit 28% (Jun: 27.2%),” katanya.

 

Menurut Maybank IB, purata dagangan harian (ADV) ekuiti mencecah RM2.1 bilion pada Julai berbanding RM1.9 bilion pada Jun.

 

 

Pergerakan pelabur asing, institusi tempatan dan runcit dalam perdagangan ekuiti Malaysia sejak awal 2010

Pergerakan pelabur asing, institusi tempatan dan runcit dalam perdagangan ekuiti Malaysia sejak awal 2010

 

 

Mengulas berkenaan bon ringgit Malaysia (MYR) pula, firma itu berkata aliran asing ke dalam hutang MYR melonjak kepada RM5.2 bilion (Mei: RM3 bilion) walaupun kelemahan pertukaran mata wang asing (FX) berterusan dan penetapan harga semula hawkish dalam kadar Amerika Syarikat (AS).

 

“Ini menandakan kenaikan bersih bulan keenam berturut-turut, mungkin didorong oleh hasil lindung nilai dolar AS (USD) dan aliran pengimbangan semula indeks yang menarik.

 

“Aliran masuk kumulatif mencecah RM21.2 bilion pada enam bulan pertama tahun ini, menjadikan jumlah pegangan asing ke paras tertinggi baharu sebanyak RM267.9 bilion. Bahagian asing MGS+GII (Sekuriti Kerajaan Malaysia dan  Terbitan Pelaburan Kerajaan) meningkat kepada 23.4%,” tambahnya. - DagangNews.com