Pekerja gig & Cukai Pendapatan: Ini yang anda kena tahu | DagangNews Skip to main content

Pekerja gig & Cukai Pendapatan: Ini yang anda kena tahu

Artikel ini disediakan oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA)

KINI adalah musim memfailkan borang cukai sekali lagi tetapi berbezakah ia kerana anda bekerja di dalam ekonomi gig? Anggota panel ACCA ExpertLink mengenai Percukaian Thenesh Kannaa menjelaskan mengapa (dan bagaimana) pekerja gig sepatutnya menjelaskan cukai mereka

 

Jika anda seorang pekerja gig yang bersikap sambil lewa terhadap cukai, ini mungkin masanya untuk anda mula mengambil tahu mengenainya dengan lebih serius.

 

Pekerja gig didefinisikan sebagai “seseorang yang melakukan kerja sementara atau bebas, terutama kontraktor bebas digaji secara tidak formal atau atas permintaan.” Sementara konsep ini bukan sesuatu yang baharu bagi kita rakyat Malaysia, namanya yang menarik mata dan pengaliran masuk aturan kerja tidak formal semasa dan selepas gangguan pandemik telah menjadikannya sesuatu yang kekal.

 

Pada tahun 2020, kira-kira 4 juta rakyat Malaysia atau kira-kira 26% tenaga kerja adalah terlibat di dalam apa yang dikenali sebagai ekonomi gig.

 

Pekerja gig adalah pelbagai, daripada makcik penjual nasi lemak atau jiran yang menawarkan tuisyen di rumah atau perkhidmatan pembersihan untuk mencari nafkah, sehinggalah graduan menyediakan khidmat profesional seperti penulisan bebas, reka bentuk grafik dan sokongan IT kepada pangkalan pelanggan di negara lain.

 

Dengan kepelbagaian yang luas daripada segi skop dan kuasa memperoleh pendapatan, ia mencetuskan soalan – apakah pekerja gig perlu mengisytiharkan pendapatan mereka dan memfailkan cukai sama seperti pekerja sepenuh masa yang lain?

 
 

Thenesh Kannaa
                                    Thenesh Kannaa

 


Thenesh Kannaa, Rakan Kongsi di TraTax dan anggota panel ACCA Expertlink mengenai Percukaian, menegaskan tiga fakta penting setiap pekerja gig harus tahu:

 

#1. Anda dengan mudah boleh mendapatkan Nombor Pengenalan Cukai secara dalam talian

Proses memohon nombor fail cukai, juga dikenali sebagai Nombor Pengenalan Cukai (TIN) adalah mudah dan boleh dilakukan secara dalam talian di https://mytax.hasil.gov.my/ hanya dalam beberapa minit.

 

Ia begitu senang, anda boleh melakukannya dengan menggunakan telefon bimbit anda. Tidak perlu ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan borang fizikal, tetapi anda pasti dialu-alukan jika memilih untuk hadir sendiri di pejabat LHDN untuk mendaftar secara manual. Pilihan di tangan anda!

 

#2. Semua pendapatan (sepenuh masa atau tidak) layak dicukai dan mesti diisytiharkan

Bagi kebanyakan orang yang bekerja tetap, majikan memberikan mereka borang EA setiap tahun yang mengandungi maklumat seperti jumlah pendapatan yang diperoleh daripada majikan tersebut serta potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO/SOCSO).

 

Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai sebarang sumber pendapatan lain, seperti sewaan daripada mana-mana harta yang anda miliki, serta pendapatan gig yang diperoleh daripada pekerjaan sekali-sekala atau berulang, ini juga mesti diisytiharkan. Ini termasuk pendapatan sampingan daripada gig penghantaran makanan, pengacara majlis, memandu kenderaan e-hailing, mengendalikan kedai roti di rumah dan lain-lain bentuk kerja yang sering dilihat sebagai tidak formal.

 

Untuk meringkaskan:

a) anda boleh mempunyai pekerjaan sepenuh masa, yang mana anda sudah membayar cukai, dan juga menjadi pekerja gig dalam masa anda sendiri

b) anda mungkin melakukan kerja gig sebagai satu-satunya sumber pekerjaan atau pendapatan anda

 

Dalam kedua-dua kes, anda perlu mengisytiharkan semua pendapatan anda tetapi…

 

#3. …Bukan semua orang perlu membayar cukai!

Ya benar. Dalam kedua-dua senario di atas, anda bertanggungjawab untuk mengisytiharkan semua pendapatan anda tetapi bergantung kepada berapa yang anda peroleh, anda mungkin tidak perlu membayar apa-apa cukai pun.

 

Ini kerana bagi yang memperoleh purata kurang daripada RM3,400 sebulan tidak perlu membayar cukai, walaupun masih diwajibkan memfailkan borang cukai bagi memenuhi keperluan pematuhan.

 

 

parafrasa

 

 

Bagi pekerja gig yang perlu memfailkan cukai buat pertama kali, berikut adalah beberapa petua untuk anda melancarkan proses tersebut:

 

A. Pastikan jumlah pendapatan anda

Ketahui berapa pendapatan anda yang layak dicukai. Sediakan kertas atau perisian lain yang jelas mengenal pasti berapa hasil pendapatan anda dan berapa hasil untuk diisytiharkan, akan cukup membantu.

 

B. Tekun menyimpan rekod perbelanjaan anda

Penyimpanan rekod perbelanjaan perniagaan (berbanding perbelanjaan peribadi/domestik) adalah sangat penting. Jangan lupa untuk sentiasa menjejak perbelanjaan anda sebagai sebahagian daripada kerja gig anda!

 

C. Elaun Modal – fahami dan gunakannya

Elaun modal adalah serupa dengan perbelanjaan boleh ditolak cukai ke atas aset yang layak dalam pengeluaran pendapatan anda. Item tertentu yang dibeli untuk tujuan menyediakan perkhidmatan anda, sama ada ketuhar baharu untuk perniagaan memasak di rumah kepada motosikal untuk tujuan membuat penghantaran, mungkin boleh digunakan untuk tuntutan susut nilai cukai/elaun modal (yang bermakna anda akhirnya membayar cukai yang kurang, jika anda dikehendaki membayar apa-apapun).

 

D. Jangan lupa potongan pelepasan cukai peribadi

Ini diberikan kepada setiap pembayar cukai di Malaysia untuk perbelanjaan peribadi. Jadi untuk perbelanjaan ini, tidak perlu ditanggung berkaitan dengan pendapatan gig anda. Setiap tahun, terdapat senarai lengkap pelbagai pengecualian daripada tanggungan dan kos perubatan kepada pendidikan dan gaya hidup jadi pastikan anda mencarinya di laman web LHDN. Menyusun resit yang diperlukan untuk ini akan membantu mengurangkan beban cukai anda juga.

 

 

parafrasa

 


Thenesh mengesyorkan bantuan profesional daripada ejen cukai yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan atau anda juga boleh melawat cawangan LHDN terdekat, dilengkapi dengan semua resit anda dan rekod lain pendapatan anda dan perbelanjaan berkaitan perniagaan, supaya mereka boleh membantu anda dengan sewajarnya.

 

Memang benar – banyak akibat jika gagal mengisytiharkan cukai anda, yang terdiri daripada denda yang tinggi jika anda diaudit kerana anda akan dikehendaki membayar semua cukai terbelakang anda sebagai tambahan kepada penalti, dan rekod cukai yang lemah boleh membawa kepada kesukaran kewangan pada masa hadapan seperti memohon pinjaman bank, jelas Thenesh.

 

Akhirnya, mesej yang dibawa pulang hanyalah begini – sebagai pekerja gig, anda perlu mengisytiharkan pendapatan anda, tidak kira berapa banyak (atau sedikit) yang anda peroleh.

 

Tarikh akhir untuk pemfailan manual adalah pada 30 April dan e-filing 15 Mei tetapi jika pendapatan gig anda layak sebagai 'pendapatan perniagaan', anda mempunyai masa sehingga 30 Jun (pemfailan manual) atau 15 Julai (e-filing). Jadi, jangan lupa untuk memfailkan cukai anda ya! - DagangNews.com