Tarif AS: 19% lebih baik dari 25% atau 19% memang teruk dari 2-3% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif AS: 19% lebih baik dari 25% atau 19% memang teruk dari 2-3%

Keupayaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengemudi negara berdepan cabaran ekonomi global selepas ancaman tarif Presiden AS Donald Trump semakin dipersoal pakar, meskipun Putrajaya melancarkan kempen media yang menonjolkan “kejayaan” rundingannya yang membawa kepada keputusan Washington mengenakan tarif import 19% ke atas barangan Malaysia.

 

Tumpuan kritikan daripada ahli ekonomi, pemimpin politik dan penganalisis adalah jurang besar antara tawaran Malaysia kepada AS dalam bentuk pembelian dan pelaburan bernilai lebih RM1 trilion dengan kos sebenar akibat tarif 19% ke atas eksport Malaysia.

 

Mereka yang bercakap kepada MalaysiaNow berkata tiada pulangan jelas dapat diukur dari sudut ekonomi, terutama jika dibandingkan dengan jumlah komitmen pelaburan yang diumumkan.

 

Komitmen ini termasuk pembelian pesawat Boeing bernilai berbilion dolar, serta pengambilalihan teknologi dan kerjasama infrastruktur melibatkan syarikat utama negara seperti Petronas, Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia, dan beberapa pemain industri semikonduktor.

 

Malaysia juga bersetuju menghapuskan cukai import bagi sebahagian besar daripada 11,000 produk AS, serta membekalkan unsur nadir bumi.

 

“Untuk ini, kita hanya dapat pengurangan tarif AS sebanyak 6% (daripada 25% kepada 19%). Itu bukan perjanjian yang baik,” kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

 

Namun kadar 19% itu berulang kali dipuji oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, yang mengakui jumlah komitmen Malaysia melebihi AS$240 bilion atau RM1 trilion.

 

Namun, persoalan mengenai keadilan pertukaran itu masih berlegar.

 

Tarif asalnya 2-3% 

Ahli ekonomi Carmelo Ferlito berkata kadar tarif yang sebelum ini dikenakan ke atas barangan Malaysia hanya sekitar 2% hingga 3%.

 

“Tarif tidak dikurangkan. Ia tidak pernah 25%. Ia hanya diugut untuk dinaikkan kepada 25% dan itu adalah taktik rundingan Trump sebagai seorang ahli perniagaan yang bijak,” kata Ferlito, yang mengetuai badan pemikir Centre for Market Education.

 

“Jadi tarif sebenarnya tidak dikurangkan, tetapi dinaikkan.”

 

Beliau berkata dakwaan kerajaan mengenai kejayaan rundingan itu, jika dinilai secara fakta, sebaliknya menimbulkan kebimbangan tentang besarnya komitmen Malaysia.

 

 

Carmelo Ferlito
                        Carmelo Ferlito

 


‘Tiada manfaat langsung’

Merujuk jumlah dagangan asing bernilai AS$681 bilion (RM2.87 trilion) tahun lepas, beliau berkata komitmen Malaysia untuk berbelanja AS$240 bilion (RM1.14 trilion) dalam pelaburan dan pembelian barangan AS mencecah 35% daripada jumlah itu.

 

Katanya, jumlah eksport Malaysia ke AS tahun lalu ialah RM198.6 bilion, manakala jumlah import dari AS ialah RM126.2 bilion – lebihan dagangan sebanyak RM72.3 bilion (AS$17.2 bilion).

 

Beliau kemudian membandingkannya dengan jumlah komitmen ekonomi Malaysia kepada AS – sebanyak AS$240 bilion.

 

“Ini bermakna komitmen Malaysia terhadap AS adalah kira-kira 13 kali ganda jumlah lebihan dagangan Malaysia berbanding AS,” katanya kepada MalaysiaNow, sambil menambah bahawa rundingan tarif dengan AS itu tidak membawa sebarang manfaat kepada negara.

 

“Perdagangan bukanlah antara negara, tetapi antara firma. Oleh itu, perjanjian ini kelak akan bergantung kepada komitmen firma terhadap perjanjian sama,” katanya.

 

“Perdagangan antara firma mengikut logik ekonomi, bukan geopolitik.”

 

Beliau berkata langkah Malaysia memotong atau menghapuskan tarif ke atas sebahagian besar produk AS bukan masalah kerana akhirnya ia memberi manfaat kepada pengguna sambil meningkatkan persaingan.

 

Namun beliau memberi amaran bahawa manfaat sebenar hanya akan dirasai jika perniagaan tempatan bersedia untuk bersaing secara adil dan cekap dalam sistem pasaran terbuka.

 

‘Asap dan cermin’

Ahli ekonomi Geoffrey Williams turut mempersoalkan kejayaan yang dipromosikan kerajaan berhubung rundingan tarif dengan AS.

 

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata naratif kerajaan tidak lebih daripada “asap dan cermin”.

 

Mengambil contoh pembelian Boeing, beliau berkata permintaan tinggi terhadap pesawat itu di peringkat global mungkin menyebabkan kelewatan penghantaran.

 

“Pesanan baharu mungkin tidak muncul sehingga selepas Trump menamatkan penggalnya sebagai presiden. Pesanan itu kemudian boleh dibatalkan.

 

“Jumlah pesawat lebih kecil daripada negara lain dan tidak jelas sama ada ia hanya penggantian armada biasa, penggantian Airbus dengan Boeing, atau benar-benar pelaburan baharu,” katanya.

 

 

Geoffrey Williams
                         Geoffrey Williams

 


Beliau juga berkata pengurangan tarif 6% terlalu kecil, dan tidak meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih baik berbanding negara Asean lain.

 

“Malaysia berada dalam kedudukan sama seperti kebanyakan negara Asean lain dan lebih teruk daripada banyak negara lain,” tambahnya.

 

“Ia berada pada kedudukan tidak menguntungkan berbanding Singapura, EU, Korea dan Jepun.”

 

Katanya, apa yang dipamerkan sebagai pencapaian sebenarnya hanyalah mengekalkan status quo, dihiasi dengan retorik politik, sambil menambah bahawa Malaysia membayar harga terlalu tinggi untuk sesuatu yang tidak wujud.

 

“Jika dinilai secara objektif, ini lebih kepada permainan persepsi, bukan pencapaian ekonomi sebenar,” katanya.

 

Pandangan ini turut dikongsi oleh bekas menteri Zaid Ibrahim yang berkata kepimpinan Malaysia mudah diperdaya.

 

“Trump hanya ada kurang empat tahun dalam jawatan. Kegilaan perlindungan ekonominya, seperti segala perkara lain tentang Trump, mungkin akan berakhir dengan huru-hara, sama ada di peti undi atau di mahkamah.

 

“Mengapa kita begitu mudah tertipu? Mengapa pemimpin kita panik pada tanda pertama tekanan daripada seorang presiden asing yang tidak menentu?” katanya.

 

 

Zaid Ibrahim
                                  Zaid Ibrahim

 


Beliau berkata dalam tempoh empat tahun akan datang, Malaysia hanya akan menjimatkan AS$10.4 bilion atau AS$2.6 bilion setahun, berdasarkan nilai eksport semasa sebanyak AS$43 bilion setahun.

 

“Sebaliknya, kita komited untuk membeli barangan AS bernilai AS$240 bilion, secara efektif menukar RM24 untuk menjimatkan RM1. Bagaimana itu boleh dianggap dasar ekonomi yang baik?” - DagangNews.com

 
Nota Pengarang: Artikel ini diterjemah dari teks berbahasa Inggeris bertajuk The RM1 trillion question haunting Anwar as outcome of tariff talks comes under fire yang disiarkan di MalaysiaNow pada 11 Ogos 2025