Scam Global Semakin Licik: ‘Keldai Akaun’ Jadi Senjata Utama Sindiket Menjerat Orang Biasa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Scam Global Semakin Licik: ‘Keldai Akaun’ Jadi Senjata Utama Sindiket Menjerat Orang Biasa

Gambar hiasan - Getty Images
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

Dalam dunia kewangan digital hari ini, jenayah penipuan tidak lagi bergantung kepada sindiket besar yang bersembunyi di lokasi jauh semata-mata. Ia kini bergerak lebih licik, lebih tersusun, dan lebih dekat dengan kehidupan seharian kita.

 

Di sebalik setiap transaksi wang yang hilang tanpa jejak, wujud satu peranan penting yang semakin menjadi tumpuan iaitu “account mule” atau keldai akaun, yang tanpa sedar menjadi senjata utama sindiket scam global untuk menjerat orang biasa di seluruh dunia.

 

Apabila usia merayap senja, manusia tidak lagi memandang dunia dengan mata yang sama. Pengalaman menjadi cermin, dan luka lama bertukar menjadi hikmah.

 

Saya menulis ini bukan sebagai seorang pakar, tetapi sebagai seorang yang telah berjalan jauh melintasi gurun di Timur Tengah, menyusuri kota-kota di Asia Barat, dan singgah di pelosok Afrika. Tempat di mana tipu daya bukan sekadar cerita, tetapi realiti yang bernafas dalam kehidupan seharian.

 

Di kota seperti Dubai, Kaherah, dan beberapa bandar di Afrika Utara, saya melihat sendiri bagaimana penipuan berkembang seperti bayang-bayang—tidak selalu jelas, tetapi sentiasa ada.

 

Pada awalnya, saya juga seperti ramai yang lain: menganggap scam atau penipuan sebagai kerja sindiket besar, dirancang oleh individu tidak dikenali, beroperasi dari tempat yang jauh dan asing.

 

Namun semakin lama saya hidup dan memerhati, saya sedar bahawa kejahatan ini tidak akan hidup tanpa “orang biasa” yang menjadi penghubungnya.

 

Mereka inilah yang kini dikenali sebagai “account mule” atau keldai akaun, istilah yang mungkin kedengaran kasar, tetapi hakikatnya menggambarkan peranan yang dimainkan.

 

Akaun bank mereka menjadi laluan, tempat wang haram singgah sebelum menghilang. Mereka bukan dalang, bukan perancang, tetapi tanpa mereka, seluruh sistem penipuan akan lumpuh.

 

Yang menyedihkan, kebanyakan daripada mereka bukan penjenayah. Mereka adalah ibu rumah tangga yang mahu membantu keluarga, pelajar yang mencari wang poket, anak muda yang baru menamatkan pengajian, pekerja gig yang hidupnya tidak menentu, malah profesional yang terhimpit beban kewangan.

 

Mekanisme Halus Perekrutan Sindiket

Saya pernah bertemu seorang lelaki di Timur Tengah, seorang juruteknik biasa yang tanpa sedar membenarkan akaunnya digunakan untuk “transaksi sementara”. Dia menyangka itu peluang kecil untuk menambah pendapatan.

 

Akhirnya, dia kehilangan segalanya: akaun dibekukan, reputasi tercalar, dan hidupnya terjerumus ke dalam kecurigaan yang tidak pernah berakhir.

 

Di sinilah kita perlu memahami satu perkara penting: penipuan hari ini tidak lagi bergantung kepada paksaan semata-mata. Ia bergantung kepada kelemahan manusia, dengan keinginan, keperluan, dan kadangkala kejahilan.

 

Dalam dunia kriminologi, ini disebut sebagai kerentanan situasional. Seseorang tidak perlu menjadi jahat untuk terlibat dalam jenayah; cukup sekadar berada di tempat dan keadaan yang salah.

 

Saya melihat bagaimana perekrutan dilakukan dengan begitu halus. Iklan kerja palsu menjanjikan pendapatan mudah, tawaran di media sosial yang kelihatan sah, permintaan daripada kenalan, malah pasangan yang baru dikenali di alam maya.

 

Peranan Kritikal “Account Mule”

Bahasa yang digunakan juga lembut dan mengelirukan seperti “tolong pindahkan duit”, “dapat komisen kecil”, “kerja sambilan tanpa risiko”. Semuanya disusun rapi untuk menutup hakikat sebenar bahawa individu tersebut sedang dijadikan alat dalam operasi jenayah.

 

Lebih membimbangkan, ramai yang cuba menenangkan hati sendiri. Mereka berkata, “Saya hanya membantu,” atau “Saya tidak tahu dari mana duit itu datang.”

 

Ada yang berfikir ia hanya sementara. Tetapi undang-undang tidak melihat alasan seperti itu sebagai pembelaan. Dalam banyak kes, kejahilan yang disengajakan bukan alasan untuk bebas. Apabila seseorang membenarkan akaunnya digunakan, dia telah menjadi sebahagian daripada rantaian jenayah itu.

 

Sindiket penipuan hari ini beroperasi seperti organisasi besar yang tersusun, berlapis, dan cekap. Ada yang bertugas memancing mangsa, ada yang mengurus komunikasi, dan ada yang mengendalikan aliran wang.

 

Di tengah-tengah sistem ini, account mule memainkan peranan paling kritikal: mereka menyediakan perlindungan kepada dalang sebenar dengan memutuskan jejak wang, mempercepatkan pemindahan sebelum dikesan, dan memecahkan jumlah besar kepada transaksi kecil yang sukar dijejaki.

 

Tanpa lapisan ini, seluruh operasi akan mudah runtuh.

 

Ancaman Dalam Dunia Digital Moden

Saya ingin bercakap terus kepada generasi baharu di Malaysia, terutama anak-anak muda yang hidup dalam dunia digital, di mana segala-galanya boleh berlaku hanya dengan satu klik.

 

Dunia hari ini lebih pantas, tetapi juga lebih berbahaya. Scams tidak lagi mengenal sempadan. Apa yang berlaku di Dubai, Lagos atau Istanbul boleh sampai ke telefon bimbit anda dalam beberapa saat.

 

Di Malaysia, kes-kes penipuan kewangan semakin meningkat saban tahun. Apa yang dahulunya kelihatan jauh kini sudah menjadi sebahagian daripada realiti tempatan.

 

Saya sendiri pernah hampir terperangkap apabila ditawarkan peluang pelaburan kripto oleh seorang kenalan lama. Nada suaranya meyakinkan, ceritanya tersusun. Namun pengalaman mengajar saya untuk berhenti sejenak, mengkaji, dan akhirnya menolak. Tidak semua bernasib baik seperti saya.

 

Kesan kepada mereka yang terlibat sebagai account mule sangat berat. Akaun bank boleh dibekukan tanpa amaran. Nama dimasukkan dalam senarai hitam institusi kewangan. Sukar membuka akaun baharu, apatah lagi mendapatkan pinjaman.

 

Lebih buruk, ada yang berdepan tindakan undang-undang, dituduh terlibat dalam penipuan atau pengubahan wang haram. Apa yang bermula sebagai keputusan kecil boleh menjadi noda sepanjang hayat.

 

Wajib, Mesti Waspada

Kita juga harus faham bahawa sindiket tidak memilih mangsa secara rawak. Mereka mengkaji. Mereka mencari individu yang terdesak, yang memerlukan wang segera, atau yang kurang pendedahan tentang risiko.

 

Mereka menggunakan kepercayaan sebagai senjata, dengan menyamar sebagai rakan, majikan atau kekasih. Ini bukan lagi jenayah kasar; ini jenayah psikologi.

 

Sebagai seorang yang telah melihat dunia dari pelbagai sudut, saya ingin meninggalkan satu pesanan yang jelas: jangan sesekali benarkan akaun bank anda digunakan oleh orang lain.

 

Jangan pindahkan wang bagi pihak yang tidak anda kenali. Jangan terpedaya dengan janji komisen mudah. Dalam dunia sebenar, tiada perniagaan sah yang beroperasi dengan cara sebegitu.

 

Akaun bank bukan sekadar alat transaksi. Ia adalah lanjutan identiti anda. Ia membawa tanggungjawab undang-undang dan moral. Sekali ia disalahgunakan, kesannya bukan mudah untuk dipadam.

 

Barangkali kata-kata ini kedengaran seperti nasihat orang tua yang perlahan, berhati-hati dan sedikit curiga. Tetapi percayalah, dunia yang saya lihat tidak lagi sama seperti dahulu. Penipuan hari ini tidak datang dengan wajah garang; ia datang dengan senyuman, dengan janji, dan kadangkala dengan harapan.

 

Dan dalam dunia seperti itu, kewaspadaan bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. - DagangNews.com