Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menekankan sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum yang kaya dengan biodiversiti dan mempunyai kedudukan strategik di Asia Tenggara, Malaysia memiliki potensi besar untuk menjadikan pelancongan sebagai sektor berimpak tinggi.
Kerajaan menyasarkan sumbangan sebanyak 16% sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 melalui pelbagai inisiatif seperti Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ), pembangunan destinasi warisan dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Namun begitu, pelaksanaan dasar pelancongan dalam Rancangan Malaysia terdahulu seperti RMK-11 dan RMK-12 menunjukkan beberapa kelemahan seperti kelewatan penyaluran peruntukan, pertindihan fungsi agensi dan pemantauan yang kurang berkesan.
Justeru, pelaksanaan RMK13 perlu lebih inklusif dan efisien agar sasaran dapat dicapai secara holistik.


Fokus Baharu: Nilai Mengatasi Bilangan
Malaysia perlu beralih daripada strategi menarik jumlah pelancong yang tinggi kepada menumpukan kepada nilai ekonomi pelancongan, pengalaman pelawat dan kesejahteraan komuniti setempat.
Langkah ini boleh merangkumi pemberian insentif seperti diskaun penginapan jangka panjang serta pembangunan laluan pelancongan bertemakan warisan, kulinari dan eko-pelancongan.
Negara juga boleh mencontohi model kejayaan luar negara seperti program “10 Bali Baharu” Indonesia yang membangunkan pelancongan luar bandar; model pelancongan regeneratif New Zealand yang memberi impak positif kepada komuniti dan alam sekitar; serta pendekatan Sepanyol dan Jepun dalam pengurusan pelancong melalui pendigitalan dan pemantauan destinasi secara langsung.
Agenda Pelaksanaan RMK13 untuk Pelancongan
1. Kerangka Pelancongan Lestari Nasional
Malaysia memerlukan sistem penilaian impak pelancongan secara menyeluruh seperti Sustainable Tourism Goals (STGs) Thailand atau sistem penarafan pelancongan khas. Pensijilan kebangsaan berasaskan pengurusan sisa, penggunaan tenaga, penglibatan komuniti dan pemeliharaan warisan perlu dibangunkan dan dipantau oleh badan bebas serta disokong oleh data dan insentif kepada pemain industri.
2. Pendigitalan Pelancongan Secara Menyeluruh
Teknologi seperti AI, realiti tambahan (AR) dan Big Data mampu memperkayakan pengalaman pelancong serta meningkatkan daya saing negara. Malaysia disaran membangunkan aplikasi sehenti kebangsaan secara kolaboratif antara Tourism Malaysia, MDEC dan syarikat teknologi tempatan untuk perancangan itinerari, maklumat budaya, tempahan serta analitik secara langsung.
3. Menjambatani Jurang Pendidikan dan Industri
Institusi seperti UiTM, UUM, politeknik dan institusi TVET perlu menekankan latihan praktikal, kelestarian dan pengurusan destinasi dalam kurikulum. Program seperti ‘Living Lab Tourism’ dan pelancongan komuniti harus diperluas. Kerajaan juga disaran memperluas program pensijilan vokasional dan latihan jangka pendek untuk tenaga kerja sedia ada.
4. Pemerkasaan Warisan dan Seni Tradisi
Warisan seperti makanan tradisional, seni halus dan permainan rakyat perlu dijenamakan semula sebagai tarikan pelancongan utama. Program seperti “Warisan Kita” oleh Kraftangan Malaysia menunjukkan potensi besar dalam menghidupkan semula seni tradisional dengan nilai ekonomi. Festival budaya negeri juga boleh diperbaharui dengan elemen kontemporari seperti bengkel interaktif, pertandingan seni digital dan persembahan jalanan.
5. Pembangunan Pelancongan Luar Bandar
Untuk memastikan keseimbangan wilayah, pelancongan luar bandar harus diberi keutamaan. RMK13 disaran memperkenalkan konsep “Kampung Mesra Pelancongan” mengikut tema tertentu seperti warisan Melayu, komuniti Orang Asli, agro-pelancongan atau kampung seni. Model sedia ada seperti Kampung Raga (Kedah), Kampung Monsopiad (Sabah) dan Kampung Pulau Tiga (Perak) boleh dijadikan contoh pembangunan pelancongan komuniti (CBT) secara menyeluruh dengan kerjasama MOTAC, KPLB, Tourism Malaysia dan institusi pengajian tinggi.

Cabaran Utama yang Dijangka
Meskipun wawasan RMK13 adalah menyeluruh, pelbagai cabaran pelaksanaan boleh dijangka, antaranya:
1. Isu Tadbir Urus dan Koordinasi – Pertindihan peranan antara kementerian dan agensi boleh menyebabkan pembaziran sumber dan kurang keberkesanan. Penubuhan Majlis Transformasi Pelancongan Nasional boleh menyelaras usaha semua pihak.
2. Peruntukan dan Pembiayaan – Kelewatan penyaluran dana boleh menjejaskan projek, terutama di luar bandar.
3. Penglibatan Sektor Swasta dan Komuniti – Kurangnya insentif dan kesedaran boleh mengurangkan penyertaan komuniti dan pengusaha tempatan.
4. Jurang Digital dan Kesiapsiagaan Teknologi – Infrastruktur dan literasi digital yang tidak seimbang terutama di luar bandar boleh mengekang agenda pelancongan pintar.
5. Konflik antara Kelestarian dan Komersial – Tanpa kawalan, pelancongan berlebihan boleh memudaratkan alam sekitar dan komuniti tempatan.
6. Jurang Modal Insan – Ketidakpadanan antara latihan pendidikan dan keperluan sebenar industri boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan.
7. Risiko Luar Jangka – Ketidaktentuan global seperti pandemik, bencana iklim atau persaingan serantau boleh memberi kesan drastik kepada ketibaan pelancong.
8. Pemantauan dan Penilaian – Kekurangan sistem data bersepadu dan analitik masa nyata menyukarkan penyesuaian dasar secara cepat dan berkesan.
Transformasi memerlukan pelaksanaan menyeluruh
Pelancongan harus dilihat bukan hanya sebagai pemacu ekonomi, tetapi juga sebagai instrumen pembangunan komuniti, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan diplomasi budaya antara negara.

RMK13 menampilkan visi transformasi pelancongan negara yang progresif dan inklusif, tetapi keberhasilannya bergantung pada pelaksanaan yang menyeluruh, terancang dan terselaras.
Masa depan pelancongan Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada angka ketibaan pelancong semata-mata. Ia mesti berpaksikan kepada nilai, pengalaman dan tanggungjawab bersama.
Sekiranya RMK13 dilaksanakan dengan strategi yang jelas dan pendekatan yang holistik, ia mampu menjadi tonggak kepada sektor pelancongan Malaysia yang lebih mampan, kompetitif dan dihormati di peringkat antarabangsa. - DagangNews.com
Akmal Adanan merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Cawangan Melaka








