Cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun di Malaysia muncul pada saat negara sedang bergelut dengan pelbagai cabaran serentak seperti penuaan penduduk, kekurangan bakat dalam sektor kritikal, serta tekanan fiskal jangka panjang.
Dalam banyak keadaan, isu umur persaraan bukan lagi sekadar keputusan pentadbiran, tetapi satu strategi nasional untuk memastikan daya saing tenaga kerja terus terpelihara.
Realiti Penuaan dan Simpanan Tidak Mencukupi
Malaysia kini secara rasmi berada dalam fasa awal sebagai masyarakat berusia. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 7.7 peratus daripada penduduk negara ini berumur 65 tahun ke atas pada tahun 2024, dan angka itu dijangka mencecah 14.5 peratus menjelang 2040.
Dalam tempoh dua dekad akan datang, komposisi tenaga buruh akan berubah secara drastik, di mana kumpulan berumur 60 tahun ke atas akan menjadi lebih besar berbanding kemasukan pekerja muda ke dalam pasaran.
Lebih membimbangkan ialah isu kekurangan simpanan persaraan. Laporan KWSP (2023) menunjukkan hanya 27 peratus ahli aktif mempunyai simpanan melebihi RM240,000 pada usia 54 tahun.

Hampir separuh daripada ahli KWSP yang aktif pula mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Jumlah ini jelas tidak mencukupi walaupun untuk menampung keperluan asas bagi tiga hingga lima tahun pertama selepas bersara.
Ini menyebabkan ramai pesara kembali ke pasaran kerja bukan kerana pilihan, tetapi kerana keperluan hidup.
Prinsip Dasar Untuk Menyokong Pelanjutan Umur Persaraan
Namun, sekadar melanjutkan umur persaraan bukan penyelesaian mutlak. Ia perlu disertakan dengan ekosistem sokongan yang membolehkan pekerja senior terus menyumbang secara produktif, terutamanya dalam sektor-sektor di mana pengalaman, bimbingan dan kepakaran adalah aset yang bernilai tinggi.
- Pendekatan kenaikan umur persaraan perlu bersifat fleksibel dan bersandar kepada prinsip pilihan. Konsep persaraan sukarela selepas usia 60 tahun wajar dijadikan landasan utama, di mana mereka yang masih sihat dan berdaya saing boleh terus bekerja dalam peranan yang sesuai sama ada sepenuh masa, sambilan atau kontrak.
Ini selari dengan amalan negara maju seperti Singapura dan Australia, yang menggalakkan penyertaan tenaga kerja senior melalui insentif dan perlindungan pekerjaan.
- Pelaburan dalam pembangunan kemahiran semula (reskilling) dan silang kemahiran (cross-skilling) bagi pekerja senior perlu diberi keutamaan.
Ramai pekerja berpengalaman yang boleh terus menyumbang dalam sektor seperti pendidikan, kejurulatihan, perundingan, penjagaan kesihatan, serta perkhidmatan komuniti.
Namun, tanpa sokongan latihan yang bersesuaian dengan keperluan fizikal, emosi dan gaya pembelajaran warga emas, kebanyakan program sedia ada gagal menarik penyertaan mereka secara bermakna.
Model latihan modular, pembelajaran kendiri, dan format hibrid yang menggabungkan sesi dalam talian dan fizikal merupakan antara keperluan asas yang perlu diwujudkan.
- Majikan perlu digalakkan menawarkan skim persaraan berperingkat (phased retirement). Kaedah ini membolehkan pekerja beralih secara beransur-ansur daripada peranan operasional kepada peranan sokongan atau strategik seperti penasihat, jurulatih atau pemudah cara.
Langkah ini membantu mengekalkan kesinambungan produktiviti organisasi, sambil membolehkan pemindahan pengetahuan berlaku secara sistematik kepada pekerja lebih muda.
Memanfaatkan Tenaga Kerja Senior Secara Strategik
Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan segera, Malaysia berisiko mengalami penyusutan tenaga kerja mahir dalam sektor penting seperti kejuruteraan, penjagaan kesihatan, pendidikan teknikal dan pentadbiran sektor awam.
Ketika negara giat melaksanakan transformasi digital dan agenda kelestarian ekonomi melalui strategi seperti Revolusi Industri 4.0 dan Dasar Ekonomi MADANI, kekurangan bakat berpengalaman boleh menjejaskan keupayaan negara untuk mencapai matlamat pembangunan jangka panjang.

Lebih penting, kegagalan menyediakan laluan penyertaan semula yang bermakna dan produktif kepada pekerja senior akan meningkatkan tekanan kepada sistem sosial dan kesihatan awam.
Sebagai contoh, jika lebih ramai warga emas tidak dapat menyara diri, permintaan terhadap bantuan kewangan dan perubatan akan meningkat, sekaligus memberi tekanan kepada perbelanjaan fiskal negara.
Menurut UNDP Malaysia (2023), dasar penyertaan semula ke pasaran kerja dalam kalangan warga emas bukan sahaja memberi kesan kepada individu, tetapi turut menyumbang kepada ketahanan sosial negara secara keseluruhan.
Apabila pekerja senior kekal aktif dan berpendapatan, mereka menyumbang kepada produktiviti, perbelanjaan domestik dan cukai serta membantu mengurangkan beban generasi muda yang perlu menyara ibu bapa.
Persaraan tidak seharusnya dilihat sebagai penamat, tetapi sebagai fasa baharu yang dirancang dengan baik agar kekal memberi sumbangan kepada masyarakat.
Dalam dunia yang sedang berubah dengan pantas dari segi teknologi, struktur pekerjaan dan demografi negara yang mampu mengekalkan keaktifan tenaga kerja senior akan lebih berdaya saing.
Untuk itu, pelaksanaan dasar umur persaraan yang lebih tinggi perlu dirangka secara berperingkat, dengan mempertimbangkan keperluan sebenar rakyat dan keupayaan pasaran kerja.
Malaysia kini mempunyai peluang untuk membina satu model persaraan moden yang bukan sahaja melindungi kesejahteraan individu, tetapi turut memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Apa yang diperlukan hanyalah keberanian untuk merangka dasar berdasarkan data dan realiti, bukan semata-mata reaksi kepada tekanan jangka pendek. - DagangNews.com
Zumalia Norzailan merupakan pensyarah di Fakulti Perniagaan & Pengurusan, Open University Malaysia (OUM). Bidang penulisannya merangkumi pengurusan sumber manusia, khususnya pengurusan bakat dan kesejahteraan pekerja.








