KUALA LUMPUR 22 Julai – PRG Holdings Bhd menolak permintaan sekumpulan pemegang saham untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi merombak barisan lembaga pengarah selepas mendapati permohonan itu tidak memenuhi syarat pegangan saham minimum yang ditetapkan di bawah Akta Syarikat 2016.
Syarikat itu memaklumkan, keputusan tersebut dibuat selepas mendapatkan nasihat guaman bebas yang menyimpulkan notis permintaan berkenaan adalah tidak sah kerana pegangan saham sebahagian daripada pemohon tidak didaftarkan atas nama peribadi mereka bagi tujuan memanggil EGM.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PRG berkata syarikat pada awalnya telah meneliti sama ada permintaan itu boleh dipertimbangkan dengan niat baik, namun akhirnya mendapati ia tidak memenuhi keperluan undang-undang yang ditetapkan.
Permintaan EGM itu dikemukakan oleh pemegang saham kedua terbesar PRG, Datuk Sheah Kok Fah bersama Sy Dioceldo Sy, Cheah Eng Chuan dan Datuk James Jr Lee Weng Kei.
Mereka sebelum ini mencadangkan supaya Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif, Andrew Chan Lim-Fai disingkirkan selain melantik Datuk Sheah Kok Fah, Datuk Richard George Azlan Abas dan Datuk Dr Teo Tong Kooi sebagai pengarah baharu syarikat.
Usul Penyingkiran Andrew Chan Sudah Tidak Relevan
PRG turut menjelaskan bahawa cadangan untuk menyingkirkan Andrew Chan kini tidak lagi relevan berikutan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 13 Julai lalu.
Menurut syarikat, Andrew telah memaklumkan kepada lembaga pengarah mengenai hasratnya untuk melepaskan jawatan itu pada 6 Julai sebelum Steven Kang Boon Lian dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan yang baharu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah Urusan PRG letak jawatan, perebutan kuasa lembaga pengarah semakin panas
Selain perubahan dalam barisan pengarah, kumpulan pemegang saham berkenaan turut mencadangkan supaya yuran dan elaun sehingga RM400,000 diluluskan kepada pengarah bukan eksekutif bagi tempoh bermula dari tarikh EGM sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.
Bagaimanapun, PRG berpendapat keseluruhan notis permintaan tersebut tidak boleh diteruskan kerana gagal memenuhi syarat undang-undang, sekali gus menutup usaha terbaharu kumpulan berkenaan untuk mengadakan EGM.
Perkembangan itu merupakan episod terbaharu dalam pertikaian dalaman yang melibatkan kepimpinan syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pertikaian Berpunca Daripada Isu Tadbir Urus Dan Hutang
Kemelut dalam PRG mula mendapat perhatian sejak Mei lalu susulan pendedahan mengenai cadangan penyelesaian hutang melibatkan anak syarikat pembinaannya, Premier Construction (International) Sdn. Bhd. (PCI) dan Premier De Muara Sdn. Bhd. (PDM), yang didakwa mempunyai kaitan dengan pemegang saham terbesar syarikat, Datuk Ng Yan Cheng.
Sheah, yang memiliki kira-kira 8.14 peratus kepentingan dalam PRG, sebelum ini turut cuba menyingkirkan Andrew pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Jun lalu atas alasan kebimbangan terhadap aspek tadbir urus korporat, termasuk dakwaan transaksi pihak berkaitan membabitkan cadangan penyelesaian hutang bernilai RM37.17 juta.
Pertikaian itu turut berkait dengan tindakan PRG memfailkan petisyen penggulungan terhadap PDM baru-baru ini bagi mendapatkan semula tunggakan bayaran pembinaan berjumlah RM64.24 juta. - DagangNews.com








