KUALA LUMPUR 22 Julai – CGS International (CGSI) mengekalkan penarafan 'Overweight' terhadap sektor automotif walaupun menjangkakan Jumlah Volum Industri (TIV) tahun ini lebih rendah berbanding tahun lalu, berikutan keyakinan beberapa saham utama masih mempunyai pemangkin pertumbuhan pendapatan yang kukuh.
Saham yang terus menjadi pilihan firma penyelidikan itu ialah Bermaz Auto Bhd, Hong Leong Industries Bhd (HLI) dan Sime Darby Bhd, yang masing-masing diberi penarafan 'Tambah' berdasarkan prospek perniagaan serta potensi peningkatan keuntungan.
Firma itu berkata, Bermaz dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan bahagian pasaran jenama Mazda, selain terus menawarkan pulangan menarik menerusi pembayaran dividen.
"Sime Darby pula dilihat berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) serta segmen kenderaan pasaran massa yang lebih mampu milik.
Di samping itu, kumpulan berkenaan turut mempunyai pemangkin jangka panjang menerusi pertumbuhan pendapatan daripada segmen perindustrian, yang dijangka terus menyokong prestasi keseluruhan syarikat," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagi Hong Leong Industries pula, CGSI berkata, prospek pendapatannya dijangka kekal berdaya tahan hasil permintaan stabil terhadap motosikal, peningkatan jualan model premium serta pertambahan bahagian pasaran.
Prospek Jualan Lebih Baik 2H2026
Dalam pada itu CGSI menjangkakan prospek jualan kenderaan di Malaysia dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2026 (2H2026), didorong aktiviti promosi yang berterusan, sekali gus mendorong firma penyelidikan menaikkan unjuran TIV tahun ini kepada 780,000 unit.
Firma itu berkata, unjuran baharu tersebut mewakili penurunan 5% berbanding tahun sebelumnya, namun lebih tinggi daripada anggaran terdahulu sebanyak 755,000 unit yang mengunjurkan penyusutan 8%.
Katanya, prestasi TIV bagi separuh pertama 2026 yang mencapai 385,353 unit, atau 51% daripada unjuran tahunan, adalah lebih baik daripada jangkaan hasil disokong oleh pelancaran model baharu serta pelbagai aktiviti promosi.
"Berikutan jualan yang lazimnya lebih kukuh pada separuh kedua tahun, kami menaikkan unjuran TIV 2026 kepada 780,000 unit kerana menjangkakan kempen promosi akan terus menyokong momentum jualan," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Mengenai EV, CGSI berkata, data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan jualan EV bagi separuh pertama 2026 melonjak 106% tahun ke tahun kepada 26,192 unit, dengan bahagian pasaran EV meningkat kepada 6.8% daripada keseluruhan TIV.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjelaskan angka tersebut tidak merangkumi beberapa pengeluar EV utama seperti XPeng, Tesla dan Zeekr, yang tidak termasuk dalam statistik jualan MAA. - DagangNews.com








