Merdeka Award Talk Series 2025: Kolaborasi kerajaan, korporat pacu kemeriahan seni negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Merdeka Award Talk Series 2025: Kolaborasi kerajaan, korporat pacu kemeriahan seni negara

Dari kiri Low Ngai Yuen sebagai moderator bersama Datuk Ramli Ibrahim, Tiara Jacquelina dan Bernard Chandran pada Merdeka Award Talk Series 2025 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Oleh Muhammad Iman

Kerjasama antara agensi kerajaan dan korporat dengan penggiat seni sangat penting dalam memajukan industri seni dan budaya warisan kita ke seluruh pelusuk negara.

 

Berbanding pada masa kini, kegiatan seni dan budaya sekadar tertumpu hanya di pusat bandar seperti bandaraya Kuala Lumpur saja dan tidak meliputi masyarakat di luar bandar.

 

Koreografer dan penari klasik terkenal, Datuk Ramli Ibrahim berkata, seni di negara ini sudah berkembang berbanding 45 tahun sejak beliau kembali ke tanah air namun ia masih terhad di pusat bandaraya.

 

"Seni dan budaya di negara ini perlu berkembang lebih maju di seluruh lapisan masyarakat kerana tidak dinafikan ia adalah antara faktor pembangunan tamadun manusia dalam setiap bangsa di dunia.

 

 

Datuk Ramli Ibrahim
                                      Datuk Ramli Ibrahim

 

 

"Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara perlu memastikan semua teater di setiap negeri diselenggara baik dan dipenuhi program berkualiti seni boleh dibawa ke seluruh negara,” katanya.

 

Selepas kembali ke Malaysia pada tahun 1983, Ramli yang juga Pengerusi Sutra Foundation menubuhkan Teater Tari Sutra di Kuala Lumpur yang memberikan tumpuan seni Malaysia dan mempromosikan kesenian Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

Beliau berkata demikian pada Merdeka Award Talk Series 2025 bertema;Keuntungan Memenuhi Prestasi: Apabila Seni Bermaksud Perniagaan (Profit Meets Performance: When Arts Means Business) di Saloma Bistro, di Kuala Lumpur pada 15 Julai lalu.

 

Ahli panel lain, Pengiat seni dan selebriti, Puan Seri Tiara Jacquelina dan Pereka Fesyen terkemuka negara, Datuk Seri Bernard Chandran. Siri bicara itu turut dihadiri lebih 200 peserta terdiri daripada pengiat seni dan budaya di negara ini.

 

 

bas

 

 

Merdeka Award Trust, diasaskan oleh PETRONAS dan Shell dengan sokongan rakan strategik Hibiscus Petroleum. Turut hadir, Pengerusi Bukan Eksekutif Hibiscus Petroleum, Zainul Rahim.

 

Ramli berkata menyentuh mengenai keuntungan dalam persembahan seni tidak tertakluk dalam istilah wang yang dikumpul semata-mata. Bagaimanapun perniagaan seni sudah pasti akan mengekalkan kelestarian seni.

 

"Bagi saya kejayaan dalam seni dan budaya bukan semata-mata mengenai kuantiti tetapi berjaya membina ketamadunan manusia. Ketika tinggal di Australia, saya memang ingin pulang ke tanah air tidak kira apapun yang berlaku.

 

"Saya cuba memupuk kesedaran mengenai nilai-nilai budaya dan seni hebat yang kita miliki. Seni dan budaya bukan satu perlumbaan dalam meraih keuntungan. Ia memerlukan usaha meningkatkan kesedaran dan bukan sekadar bercakap tanpa melakukan sebarang tindakan," katanya.

 

Seni budaya sebagai legasi

Sementara itu, Tiara Jacquelina menekankan kepentingan sokongan daripada pihak kerajaan, korporat dan teknologi dalam menjadikan seni sebagai industri mampan bagi menggalakkan penggiat seni terus menghasillkan karya bermutu.

 

 

Tiara Jacquelina
                                                 Tiara Jacquelina

 

 

Beliau berkata penggiat seni perlu menghasilkan sesuatu yang mampan untuk bercerita mengenai kisah Malaysia bertaraf dunia yang asli tanpa meniru produk daripada negara luar seperti Dream Forest Langkawi.

 

"Kita perlu menetapkan standard kita sendiri dalam menghasilkan seni yang tersendiri. Terapkan idea dan konsep baharu, cari inovasi baharu, model perniagaan dan konsep pasaran lebih luas. Tampil sebagai usahawan seni dan budaya bukan sekadar meraih keuntungan tetapi sebagai satu legasi.

 

"Artis lazimnya tiada minda sebagai usahawan. Saya belajar mengenai perkara ini menerusi filem blokbuster dan persembahan teater yang saya hasilkan dan mendapati minat saja tidak mencukupi, " katanya.

 

Bagaimanapun, tanpa sebarang sokongan kuat daripada pihak kerajaan, sukar untuk penggiat seni sepertinya melangkau jauh daripada kebiasaan dan menghasilkan karya menembusi pasaran bertaraf dunia.

 

Sebagai usahawan tidak dinafikan sentiasa mementingkan keuntungan. Artis perlu mula memikirkan impak karya dihasilkan manakala rakan korporat pula perlu memahami kepentingan emosi dan pembangunan bangsa yang hebat.

 

"Saya pernah diberikan dana sebanyak RM1 juta untuk menghasilkan sebuah karya seni dengan rakan korporat. Namun, mereka mahukan keuntungan sehingga tiga kali ganda dalam persembahan selama tiga minggu saja.

 

"Bila saya buat Puteri Gunung Ledang (PGL), ramai suruh buat persembahan di London. Tapi ini kosnya bukan murah. Tambahan pula tiada sokongan dana. Saya pernah hantar PGL ke pertandingan Oscar tetapi ditolak oleh Finas. Mengapa tidak? Bila lagi?" katanya.

 

Katanya PGL berjaya disenarai pendek dalam perrandingan berprestij itu tetapi ramai tidak tahu, beliau perlu melobi sendiri untuk menarik perhatian juri dan orang ramai menonton filem berkenaan. Agak menyedihkan apabila ramai yang tidak kenal Malaysia dan mereka ingat, ia filem Indonesia.

 

Mereka kenal filem Hindustan dan China

"Disinilah letaknya kepentingan rakan strategik. Mereka bukan sekadar menyalurkan dana semata-mata tetapi melabur untuk kemajuan dan kesinambungan industri ke peringkat antarabangsa selain mengasah bakat generasi baharu.

 

 

Bernard Chandran
                                     Bernard Chandran

 

 

Pupuk minat seni budaya sejak kecil Bernard Chandran berkata dalam menghasilkan masyarakat yang memahami dab cintakan seni dan budaya memerlukan tauladan yang boleh dicontohi oleh anak-anak sejak usia muda lagi.

 

"Masyarakat kita hari ini lebih gemar membawa anak-anak ke gedung membeli-belah untuk pelbagai aktiviti berbanding membawa mereka ke lokasi yang mempamerkan warisan hasil seni dan budaya kita.

 

"Jadi, bagaimana mereka hendak menghargai seni warisan kita? Sebagai ibu bapa, mereka kena didik anak untuk mengenal keindahan seni budaya bangsa. Masa saya di Paris, saya dapati mereka sukakan seni tidak kira fesyen, seni lukisan, ukiran dan sebagainya kerana mereka tahu menghargainya," katanya.

 

Beliau juga bersetuju bahawa kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun korporat mampu melahirkan generasi dengan sentuhan seni tersendiri bertaraf antarabangsa.

 

Bernard yang juga usahawan fesyen dan memiliki butik di Farenheit88,Jalan Bukit Bintang mengakui pernah cuba menerapkan songket ke dalam rekaan gaun dan aksesori wanita seperti beg tangan dan kasut tetapi bulan mudah.

 

 

bas

 

 

"Saya akan buat apa yang saya mahu dan selesa. Dalam perniagaan, kita perlu pantas bergerak dan dalam masa yang sama memastikan produk dihasilkan berkualiti.

 

"Kita perlu memberikan dorongan kepada diri sendiri tanpa mengharapkan pihak tertentu untuk terus maju.

 

"Kini semua sudah berubah dan saya perlu menjadi diri sendiri yang tidak lagi mementingkan kemasyhuran semata-mata. Saya perlu menjadi pereka fesyen mengikut kreativiti saya sendiri yang boleh menjadi identiti saya, " katanya. - DagangNews.com