Merapatkan Jurang Perlindungan Penjagaan Kesihatan untuk Pekerja Asing - Tune Protect | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Merapatkan Jurang Perlindungan Penjagaan Kesihatan untuk Pekerja Asing - Tune Protect

Oleh JOHARDY IBRAHIM

Pekerja asing merupakan aset penting dalam tenaga kerja di Malaysia. Daripada sektor pembinaan dan pembuatan sehinggalah kepada pertanian, perladangan serta makanan dan minuman, mereka menyumbang kepada sektor ekonomi yang penting bagi pertumbuhan negara.

 

Hari ini, kira-kira 2.3 juta orang pekerja asing berada di Malaysia, merangkumi hampir 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja keseluruhan.

 

Kehadiran mereka memastikan kesinambungan operasi, yang seterusnya membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk mengambil peranan berkemahiran lebih tinggi serta menyokong pembangunan ekonomi dan inovasi jangka panjang.

 

 

 

 

 

 

Rangka Kerja yang Sedia Ada dan Ruang Penambahbaikan

Malaysia sudah mempunyai skim untuk melindungi pekerja asing. Skim Kemasukan Hospital dan Pembedahan Pekerja Asing (SKHPPA), yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan, menyediakan manfaat rawatan hospital tahunan dengan had maksimum sebanyak RM20,000.

 

Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA), yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia, meliputi kecederaan di tempat kerja. Kelulusan imigresen berada di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri, manakala pemeriksaan perubatan FOMEMA wajib dilakukan dalam tempoh 30 hari selepas ketibaan.

 

Penyeliaan dan penyelarasan dasar keseluruhan terletak di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin, manakala agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani kes pekerja yang melarikan diri daripada majikan.

 

Majikan pula mengurus kelulusan kuota, kontrak, pengeluaran Visa dengan Rujukan (VDR), serta memastikan pematuhan ketat terhadap dokumentasi.

 

Namun begitu, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. SKHPPA tidak meliputi rawatan pesakit luar, bersalin dan penjagaan pencegahan, manakala had perlindungan sering kali tidak mencukupi bagi rawatan besar. SPPA pula tidak meliputi penyakit atau insiden yang berlaku di luar tempat kerja.

 

 

Jubin Mehta
      Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta

 


“Kos penjagaan kesihatan telah meningkat dan ramai pekerja menghadapi cabaran dalam mengurus tuntutan disebabkan oleh halangan bahasa. Akibatnya, ada yang menangguhkan untuk mendapatkan rawatan, sekali gus meningkatkan risiko terhadap kesihatan mereka,” kata Jubin Mehta, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Malaysia.

 

Cabaran lain terletak pada kekangan data. Kehadiran pekerja tanpa dokumen menyukarkan usaha mendapatkan statistik tenaga kerja yang boleh diguna pakai, sekali gus menghalang perancangan dasar yang berkesan.

 

Menuju ke Arah Perlindungan Inklusif

Melihat cabaran ini dari sudut pandang syarikat insurans, terdapat keperluan untuk pendekatan yang lebih inklusif seperti meningkatkan had tahunan, menambah perlindungan bagi rawatan pesakit luar dan penyakit kronik, serta menyesuaikan perlindungan mengikut tahap risiko industri. Aspek yang sama penting termasuk usaha mempertingkat kesedaran.

 

“Perlindungan di atas kertas sahaja tidak mencukupi,” kata Jubin. “Kita memerlukan kempen berbilang bahasa, aplikasi mudah alih, talian bantuan serta orientasi yang dikendalikan oleh majikan supaya pekerja mengetahui perkara yang tersedia untuk mereka dan cara menggunakannya.”

 

Beliau menambah kesihatan mental dan emosi juga wajar diberikan lebih perhatian memandangkan ramai pekerja berdepan dengan rasa terasing dan cabaran penyesuaian budaya.

 

Kerjasama antara syarikat insurans, NGO dan kedutaan boleh membantu menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan yang peka terhadap budaya, manakala talian bantuan dalam bahasa natif pekerja akan memudahkan mereka mendapatkan bantuan.

 

Melangkaui Perlindungan Asas

Sebagai pelengkap kepada skim berkanun, Tune Protect menawarkan pelan opsyenal Kemalangan Diri Pekerja Asing. Selain manfaat lazim yang meliputi kematian dan kecacatan akibat kemalangan, produk ini merupakan satu-satunya produk di Malaysia yang melindungi kerugian levi akibat kehilangan pekerja.

 

Jaminan Imigresen Pekerja Asing juga wajib diambil, yang meliputi kos penghantaran pulang apabila pekerja diarahkan untuk kembali ke negara asal.

 

Melihat ke hadapan, Tune Protect sedang meneroka rumusan digital yang menyepadukan perkhidmatan lebih meluas.

 

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi e-dompet untuk menyediakan akses kepada pekerja asing bagi perkhidmatan kiriman wang, pembayaran bil, sumbangan zakat dan simpanan.

 

"Kami juga sedang membangunkan aplikasi mudah alih dengan ciri telekesihatan, termasuk perkhidmatan rundingan dalam bahasa natif pekerja,” kongsi Jubin.

 

Idea ini melangkaui bidang insurans semata-mata. Dengan meneliti keseluruhan perjalanan majikan dan pekerja mereka — daripada urusan perjalanan dan sistem gaji hinggalah kepada kiriman wang serta sambungan mudah alih (mobile connectivity) — Tune Protect berharap dapat menjadi pusat penyelesaian yang mampu mengurangkan beban pentadbiran majikan sambil menambah baik kualiti hidup para pekerja.


 

TuneProtect

 


Tanggungjawab Bersama

Memperkukuh perlindungan untuk pekerja asing tidak dapat dicapai oleh pihak insurans sahaja. Usaha bersama diperlukan antara kerajaan, majikan dan penyedia perkhidmatan.

 

 

 

 

 

 

Apabila dilaksanakan dengan baik, langkah tersebut bukan sahaja dapat melindungi pekerja asing, malah mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam, mengukuhkan kestabilan pasaran buruh, serta meletakkan Malaysia sebagai ekonomi yang inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan.

 

Dengan menyepadukan penjagaan kesihatan yang komprehensif, rumusan insurans yang inovatif serta perkhidmatan bernilai tambah, Malaysia dapat membina sistem yang lebih berdaya tahan, di mana pekerja asing diiktiraf, dilindungi dan dihargai sebagai tonggak penting kepada pertumbuhan negara. - DagangNews.com