Kebebasan untuk membangun: Bioekonomi Kitaran demi Malaysia Lestari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebebasan untuk membangun: Bioekonomi Kitaran demi Malaysia Lestari

Oleh MOHD KHAIRUL FIDZAL ABDUL RAZAK, CEO Bioeconomy Corporation

Hari ini, makna Hari Kebangsaan bukan lagi sekadar bebas daripada penjajahan. Jika dahulu kita berjuang menuntut kemerdekaan negara, kini perjuangan kita adalah membebaskan diri daripada pencemaran, perubahan iklim, dan amalan yang tidak mampan.

 

Di sinilah bioekonomi memainkan peranan penting.

 

Dengan memanfaatkan serta memproses sumber semula jadi negara – daripada tumbuhan, haiwan hingga mikroorganisma – kita dapat menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi, mengurangkan kebergantungan kepada import, dan menjana kekayaan dalam sempadan kita sendiri.

 

 

MOHD KHAIRUL FIDZAL ABDUL RAZAK
                       MOHD KHAIRUL FIDZAL ABDUL RAZAK

 


Selama dua dekad, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memikul misi ini.

 

Kami menyediakan fasilitasi, sokongan dan panduan untuk memacu pembangunan industri bioteknologi dan bio tempatan.

 

Kini, konsep bioekonomi kitaran menjadi teras kepada usaha ini, sekaligus membentuk satu daripada tonggak utama Dasar Bioteknologi Negara 2.0.

 

Atas sebab inilah Bioeconomy Corporation giat menggerakkan bioekonomi kitaran dengan menjadikan sisa pertanian sebagai sumber bernilai tinggi.

 

Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, malah menukar sumber terbuang kepada kekayaan melalui inovasi berasaskan bio – memelihara alam sekitar dan membuka peluang ekonomi. Hakikatnya, nenek moyang kita sudah lama mengamalkan konsep ini dengan menghargai serta menggunakan semula sumber alam semula jadi.

 

Semangat ini jelas terbukti melalui pelbagai kisah kejayaan syarikat bioteknologi dan berasaskan bio tempatan yang disokong melalui program Bio-based Accelerator (BBA) dan Status BioNexus di bawah Bioeconomy Corporation:
 

  • Di Sarawak, sebuah syarikat BBA yang diinspirasikan oleh amalan seorang nenek menghasilkan garam daripada pelepah nipah, kini memasarkan dua produk premium berasaskan nipah: gula apong daripada niranya serta garam rendah natrium daripada hasil sampingan.

  • Di Kedah, para pesawah menjual jerami padi kepada sebuah syarikat berstatus BioNexus yang mengubahnya menjadi pembungkusan boleh lupus, sekali gus mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka.

  • Di Sabah, sebuah syarikat bio pula memperkasakan petani melalui penanaman rumpai laut secara mampan, membeli semula hasil tuaian mereka untuk diproses menjadi produk pertanian bernilai tinggi.

 

Usaha-usaha ini bukan sahaja menyokong kelestarian, malah membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan, dan seterusnya memperbaiki taraf hidup komuniti tempatan.

 

Bioekonomi kitaran juga mewujudkan laluan kerjaya yang melangkaui bidang sains, merangkumi keusahawanan, reka bentuk produk, pemasaran, dan pengeluaran – semuanya digerakkan oleh inovasi.

 

Satu contoh nyata ialah sebuah syarikat pemula daripada program BBA yang selepas menerima Status BioNexus serta bimbingan dan pensijilan penting, kini menghasilkan bio-leather (kulit berasaskan bio) dan bahan tambahan tekstil organik yang digunakan oleh jenama fesyen antarabangsa.

 

Kisah-kisah ini membuktikan, bioekonomi kitaran bukan sekadar konsep abstrak – ia sedang mengubah komuniti kita, menjana pendapatan, mengurangkan pencemaran, malah menembusi pasaran global, sekaligus mengangkat inovasi Malaysia ke persada dunia.

 

Tahun ini, ketika Bioeconomy Corporation meraikan ulang tahun ke-20 bersempena sambutan Hari Kebangsaan, kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam perjalanan ini.

 

Sokonglah usahawan bio tempatan, pupuklah bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), dan amalkan gaya hidup lestari. Setiap langkah kecil mampu membawa perubahan besar.

 

Semangat kebebasan sebenar hari ini ialah membina ketahanan dan mencipta peluang untuk generasi akan datang. Inilah hakikat “Bioekonomi untuk Semua.” - DagangNews.com

 

MOHD KHAIRUL FIDZAL ABDUL RAZAK merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation)