Dalam diam, barangan yang kita gunakan setiap hari, daripada bahan binaan hingga produk makanan, sedang bergerak lebih pantas di atas landasan rel.
Pergerakan ini jarang disedari, tetapi di situlah sebenarnya bermula denyut ekonomi yang dapat dibaca oleh mereka yang cakna.
Apabila kargo meningkat, ekonomi mula bernafas. Apabila ia perlahan, tekanan mula terasa bukan sahaja kepada syarikat besar, tetapi juga kepada peniaga kecil yang bergantung kepada aliran bekalan.
Baru-baru ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melaporkan peningkatan lebih 20% dalam jumlah kargo bagi suku pertama 2026. Pada masa ini, ia merupakan berita yang meyakinkan kepada ekonomi negara.
Hal ini demikian kerana, dalam suasana ekonomi global yang dibayangi konflik geopolitik, turun naik harga komoditi dan ketidaktentuan rantaian bekalan, peningkatan ini memberi gambaran bahawa aktiviti perdagangan serta industri domestik masih bergerak.
Namun begitu, angka ini tidak wajar dilihat secara terasing.
Secara struktur, sektor logistik merupakan antara indikator awal kepada momentum ekonomi. Di Malaysia, pengangkutan jalan raya masih mendominasi dan dianggarkan mengendalikan lebih 80% pergerakan barangan domestik.
Namun, kebergantungan ini datang dengan kos seperti harga diesel yang tidak stabil, kesesakan trafik serta tekanan terhadap kecekapan penghantaran. Dalam konteks ini, peralihan sebahagian kargo ke rel bukan sekadar pilihan operasi, tetapi satu strategi penyesuaian terhadap tekanan kos dan ketidaktentuan ekonomi negara.
Rel menawarkan sesuatu yang semakin mahal dalam ekonomi hari ini, iaitu kestabilan. Kos penghantaran bagi jarak jauh lebih konsisten, kapasiti lebih besar dan kurang terdedah kepada gangguan harian.
Tidak hairanlah jika syarikat-syarikat besar mula meningkatkan penggunaan rel sebagai sebahagian daripada strategi logistik mereka bagi mengurangkan kos penghantaran.
Namun, di sinilah realiti sebenar bermula. Bagi syarikat besar, kelebihan ini diterjemahkan secara langsung kepada penjimatan kos dan kecekapan operasi. Dengan kapasiti penghantaran yang tinggi, mereka mampu memanfaatkan ekonomi skala, sekali gus mengekalkan harga yang lebih kompetitif di pasaran.
PKS Berdepan Jurang Baharu
Sebaliknya, bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menyumbang sekitar 38% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia serta menggaji hampir separuh tenaga kerja negara, situasinya tidak semudah itu.
Sebahagian besar PKS masih bergantung kepada pengangkutan jalan raya. Bukan kerana mereka tidak mahu berubah, tetapi kerana kekangan struktur, iaitu akses kepada rangkaian rel yang terhad, lokasi operasi yang tidak strategik, serta jumlah penghantaran yang tidak mencukupi untuk menjadikan rel sebagai pilihan yang ekonomik.
Akibatnya, apabila kos logistik bagi syarikat besar semakin menurun melalui penggunaan rel, PKS pula terus berdepan kos yang tinggi dan tidak menentu. Jurang ini mungkin tidak ketara pada hari ini, tetapi dalam jangka panjang, ia berpotensi mengubah landskap persaingan secara perlahan tetapi mendalam.
Persoalannya, adakah kita sedang membina sistem logistik yang lebih efisien atau secara tidak sedar membina sistem yang lebih tidak seimbang?
Lebih menarik, perkembangan ini juga berkait rapat dengan agenda kelestarian, iaitu pengangkutan rel secara relatifnya menghasilkan pelepasan karbon yang lebih rendah berbanding lori, sekali gus menjadikannya pilihan yang lebih mesra alam.
Dalam era apabila prinsip ESG (Environmental, Social and Governance) semakin menjadi penanda aras dalam perniagaan, keupayaan untuk mengakses sistem logistik rendah karbon bukan lagi satu kelebihan tambahan, tetapi satu keperluan dalam persekitaran semasa.
Di sinilah tekanan baharu muncul.
Kecekapan Perlu Dikongsi Adil
Syarikat besar, khususnya yang terlibat dalam rantaian bekalan global, semakin cenderung memilih rakan niaga yang selari dengan agenda kelestarian.
Ini bermakna PKS bukan sahaja perlu bersaing dari sudut harga, tetapi juga dari sudut keupayaan memenuhi standard ESG yang semakin ketat. Tanpa akses kepada pilihan logistik yang lebih mampan seperti rel, mereka berisiko ketinggalan bukan kerana kurang usaha, tetapi kerana kekangan sistem.
Dalam kerangka Ekonomi MADANI, penekanan diberikan kepada pembangunan yang inklusif, seimbang dan berteraskan kesejahteraan. Namun, perkembangan dalam sektor logistik ini menimbulkan satu persoalan yang wajar diberi perhatian, iaitu sejauh mana kecekapan yang dicapai dapat dinikmati secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada pemain tertentu sahaja.
Jika kecekapan logistik hanya menguntungkan syarikat berskala besar, maka manfaatnya tidak akan menitis ke bawah secara adil. Sebaliknya, ia mungkin mempercepatkan lagi jurang antara pihak yang mampu mengakses sistem yang efisien dengan pihak yang terus bergelut dengan kos operasi yang tinggi.
Justeru, peningkatan lebih 20% kargo oleh KTMB tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar pencapaian operasi. Ia ialah petunjuk kepada perubahan struktur dalam ekonomi Malaysia, iaitu perubahan yang membawa peluang besar, tetapi juga risiko ketidakseimbangan yang perlu diurus dengan teliti.
Akhirnya, persoalan sebenar bukan lagi sama ada sektor logistik sedang berkembang. Itu sudah jelas. Persoalan yang lebih mendesak ialah siapa yang bergerak bersama arus perubahan ini, dan siapa yang sedang perlahan-lahan tertinggal di belakang?
Ini kerana dalam ekonomi moden, kelebihan tidak lagi ditentukan semata-mata oleh usaha atau ketekunan, tetapi oleh akses.
Apabila akses kepada sistem logistik yang lebih murah, stabil dan mampan menjadi faktor penentu, maka masa depan banyak perniagaan, terutamanya PKS, akan lebih bergantung kepada sama ada mereka diberi ruang untuk turut serta atau sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan yang berlaku di hadapan mereka. - DagangNews.com








