Kapten Izham & Pembersihan Budaya Toksik: Bagaimana MAG Bangkit Sesudah Hampir Tumbang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapten Izham & Pembersihan Budaya Toksik: Bagaimana MAG Bangkit Sesudah Hampir Tumbang

Kapten Izham Ismail pada majlis perpisahan sempena persaraannya sebagai Pengarah Urusan Malaysia Airlines pada 31 Januari 2026.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

"Ni first time saya jadi CEO, berilah saya peluang."

 

Perbualan kami singkat, sekadar sembang kedai kopi sementara menunggu penerbangan ke Seoul untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan IATA dan Persidangan Pengangkutan Udara Sedunia sekitar Jun 2019. Ketika itu, tidak silap, hanya empat hari lagi menjelang Hari Raya Puasa. Bersama kami ketika itu ialah Editor The Edge.

 

Kami menyapa Datuk Kapten Izham Ismail, yang sentiasa tersenyum mesra kepada media. Pada 2019, ini bermakna beliau baharu menghampiri tempoh dua tahun menerajui Malaysia Airlines Group (MAG) sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) setelah dilantik oleh Khazanah.

 

Saya lupa apa soalan yang diajukan kepadanya, tetapi itulah jawapannya pada masa itu. Mungkin saya bertanya, “Kapten, are you ok?”

 

Masih terngiang kata-katanya:
"Kadang-kadang media suka tanya saya macam-macam (lebih tepat lagi kecam), nak tahu kedudukan MAG, tapi banyak benda kita perlu hadapi. Bukan soal boleh untung atau rugi. Banyak yang perlu dibuat."

 

Itulah reaksinya, walaupun saya sendiri pun samar-samar dengan apa yang ingin diluahkan oleh lelaki berdarah kacukan Melayu dan Cina ini.

 

Sebagai wartawan ekonomi, saya mengaku kadang-kadang terlepas pandang banyak perkara kerana fokus hanya kepada fakta dan angka.

 

Editor di pejabat hanya mahu tahu sasaran, fakta, angka keuntungan atau kerugian, kenapa dan mengapa. Itu belum lagi dapat scoop, tetapi akhirnya apa yang diperoleh? Ucapan tahniah dan mungkin kenaikan pangkat.

 

Jika berita berangle positif, kurang menyengat; jika negatif, lebih ‘mengundang’ pembaca. Itulah permainan dalam dunia media. Kadang-kadang kita terlupa bahawa di sebalik setiap tajuk utama yang kita kejar, ada getaran, lelah dan pergelutan yang tidak kita sedari betapa mencabarnya perjalanan itu.

 

DI SEBALIK ANGKA, ADA LUKA

Tiada siapa tahu, rupanya dalam tempoh dua tahun terawal memimpin MAG, beliau melalui satu perjalanan yang menyakitkan. Itulah lelah yang ingin diluahkan, sedangkan media hanya mahu melihat hasil, bukan perjalanan yang dilalui untuk membina semula syarikat penerbangan ini.

 

Selepas perbualan singkat itu, minggu ini barulah saya mengerti apa yang ingin disampaikan oleh Kapten Izham—seorang CEO tanpa ijazah.

 

Beliau memimpin MAG hanya berbekalkan pengalaman sebagai juruterbang Malaysia Airlines sehingga menyifatkan peluang membina kerjaya di situ berjaya membantu keluarganya keluar daripada kemiskinan.

 

Selama 46 tahun beliau membina ‘rumah’ di situ, satu tempoh yang cukup panjang. Dalam perbualan podcastnya minggu ini, saya difahamkan usianya sudah mencecah 65 tahun, bermakna kerjayanya bermula di Malaysia Airlines pada usia 19 tahun.

 

Jika orang lain melihat beliau bukan pilihan tepat Khazanah untuk membina semula jenama nasional ini, saya melihat beliau dari sisi yang lain. Saya bukan wartawan ekonomi hebat yang sentiasa bertanya soalan padu untuk dijadikan tajuk utama, tetapi saya memerhati, bertanya dan berbual bila perlu.

 

BARAH SENYAP DALAM ORGANISASI

Apa yang dikongsi beliau adalah ‘barah’ yang semakin merebak dan membunuh banyak organisasi. Tambahan pula, jika melibatkan korporat Melayu, budaya kerjanya sering kali lebih toksik berbanding organisasi yang mempunyai pekerja pelbagai kaum.

 

Saya petik kata-katanya dalam temu bual bersama BFM 89.9 minggu ini:
"You walk in the corridors of the offices of Malaysia Airlines, then there's full of toxicity, there were full of blame game, full of resistance to change, so that was a very painful journey and this has to stop."

 

Bagi individu yang bermula dari bawah, Kapten Izham mengenali syarikat ini luar dan dalam. Beliau sendiri tidak mahu ‘rumah’ yang dibina itu runtuh sekelip mata. Ya, syarikat penerbangan ini rugi teruk dan menunggu masa untuk tumbang.

 

Namun yang membinanya semula adalah kekuatan dalaman. Mengetepikan isu kewangan buat seketika, beliau memilih untuk membersihkan budaya toksik terlebih dahulu. Sudah tentu ini satu tugas yang sukar, tetapi Kapten Izham berjaya melakukannya sehingga MAG bangkit semula.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, MAG merekodkan keuntungan bersih untuk tahun kedua berturut-turut sebanyak RM54 juta, walaupun menurun 93% daripada RM766.19 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, susulan pengurangan kapasiti sebanyak 18% merentasi rangkaiannya.

 

Di bawah Pelan Jangka Panjang Perniagaan (LTBP2.0) yang diperkenalkan pada 2020, MAG menyaksikan liabilitinya berkurang lebih RM15 bilion dan menghapuskan RM10 bilion hutang legasi melalui penstrukturan semula kewangan.

 

MEMBETULKAN MANUSIA, BUKAN SEKADAR BUKU KIRA-KIRA

Sementara itu, di bawah LTBP3.0, MAG memberi fokus kepada empat matlamat utama iaitu muncul sebagai syarikat penerbangan premium Asia Pasifik, memperkukuh perkongsian, menambah baik operasi dan mengembangkan perniagaan di luar segmen penerbangan terasnya.

 

Berapa banyak syarikat di Malaysia yang ketuanya mempunyai kesedaran sebegini? Tindakan segera yang sering diambil untuk membetulkan keadaan syarikat ialah membuang pekerja terlebih dahulu kononnya untuk ‘meringankan kapal’.

 

Tetapi beberapa tahun kemudian, masalah yang sama berulang—kapal kembali berat, budaya toksik tidak pernah hilang, dan organisasi terus menanggung kanser dalaman.

 

Sama ada mahu diakui atau tidak, inilah naratif yang sering berlaku dalam kebanyakan syarikat hari ini. Persoalannya, siapa yang mencipta naratif ini?

 

Budaya toksik diterjemahkan sebagai politik pejabat. Pekerja baik yang tidak mengganggu sesiapa boleh terperangkap, sementara yang kerap ‘hilang’ dan tidak buat kerja akhirnya naik pangkat. Yang bersuara akan dikecam, sedangkan manipulator yang bermain peranan mangsa diangkat sebagai hero kerana simpati.

 

Mereka yang terlalu selesa dalam zon selesa datang kerja sekadar memenuhi waktu, meninggalkan beban kepada rakan lain yang terpaksa menutup kelemahan. Di mata bos, semuanya kelihatan lancar. Hakikatnya, organisasi sedang nazak.


 

Jun
Penulis bersama Datuk Kapten Izham Ismail di KLIA pada 2019. Gambar koleksi peribadi zzuane

 

KEPIMPINAN YANG MELIHAT, BUKAN MENGHAKIMI

Datuk Kapten Izham Ismail bersara sebagai Pengarah Urusan Kumpulan MAG berkuat kuasa 31 Januari 2026, menandakan berakhirnya sebuah perjalanan kepimpinan dan khidmat cemerlang selama lebih 40 tahun bersama syarikat penerbangan nasional itu.

 

Jika lebih ramai CEO seperti Kapten Izham yang meletakkan pembetulan manusia mengatasi pembetulan kewangan semata-mata, saya yakin lebih ramai pemimpin berkesan akan dilahirkan dan korporat Malaysia bakal memasuki era kepimpinan baharu yang lebih sihat.

 

Perlu diingat, beliau asalnya seorang juruterbang, tanpa ijazah, sarjana atau PhD. Kapten Izham hanya ‘melihat’ dunia dari ruang kokpitnya, dan di situlah terletaknya ‘sekolah ekonomi’ yang membentuk keupayaannya membawa Malaysia Airlines kembali terbang megah di awan biru.

 

Namun, berapa ramai ketua hari ini yang benar-benar teliti, mendengar dan memerhati setiap ruang dan sudut organisasinya, berbanding yang sekadar menghakimi dari jauh? Saya yakin, spesies ini hanya wujud di Pluto. - DagangNews.com

 

Zunaidah Zainon pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarang Berita di DagangNews.com selain Penolong Pengarang Berita Ekonomi di Utusan Malaysia pada 2019.